Satukan tanah skala kecil, jadikan ladang besar lebih terurus

Satukan tanah skala kecil, jadikan ladang besar lebih terurus

am@hmetro.com.my

Kuala Nerang: Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang merangka strategi bagi menyatukan tanah-tanah getah berskala kecil milik pekebun kecil untuk dijadikan ladang lebih besar yang diurus secara tersusun, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pendekatan itu penting memandangkan Malaysia masih mengimport kira-kira RM7 bilion getah asli setiap tahun, sedangkan negara mempunyai kapasiti untuk mengeluarkannya sendiri.

“Kita bukan mahu ambil tanah mereka, sebaliknya nak satukan supaya pengurusan lebih berkesan. Kalau sekarang seorang ada tiga hektar, kita kumpulkan menjadi 30 atau 50 hektar.

“Kalau tiada yang sanggup uruskan, kerajaan boleh bantu bawa masuk pekerja asing untuk usahakan kebun ini. Kita tak mahu anak-anak pemilik turun ke kebun, tapi kita tetap nak pastikan hasil dapat dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini.

Johari berkata, hasil semakan data mendapati hampir 95 peratus pekebun kecil di negara ini hanya memiliki kebun getah bersaiz dua hingga empat hektar dan kebanyakannya tidak lagi diusahakan secara aktif.

Katanya, perkara itu turut disahkan melalui tinjauan beliau di lapangan, yang mendapati ramai pemilik memilih untuk tidak mengusahakan kebun kerana sudah mendapat sokongan kewangan daripada anak-anak.

“Makcik-makcik yang saya temui beritahu anak-anak mereka beri RM100 sebulan seorang. Kalau lima anak, dapat RM500. Cukup untuk makan, beli barang. Jadi mereka tak rasa perlu turun ke kebun lagi.

“Ada juga yang takut kena tipu bila jual hasil. Bila ditanya, mereka kata kadang-kadang bawa balik getah, cuma dapat RM25 sahaja. Akhirnya mereka biarkan kebun begitu sahaja,” katanya.

Menurut Johari, langkah penggabungan ladang ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan kawasan tertentu yang mempunyai potensi untuk dikembangkan terlebih dahulu.

“Kalau kita boleh satukan 100 (40 hektar) atau 200 ekar (80 hektar) dulu dan tunjuk hasil yang beri manfaat kepada tuan tanah, lama-lama orang lain pun akan ikut. Tapi nak mula bukan mudah, ambil masa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak wujud cabaran dari segi struktur pemilikan tanah, terutamanya apabila kebun diwarisi oleh ramai waris yang menyebabkan kesukaran untuk dimajukan semula.

“Saya jumpa seorang yang ada 10 hektar tanah, tapi nama atas enam orang anak. Ada yang sudah kerja di negeri lain, ada yang tak mahu setuju. Akhirnya tak boleh gerak. Nak tukar nama pun susah. Kalau nak buat pengambilan paksa, prosesnya rumit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak bercadang mengambil alih hak milik tanah, sebaliknya mahu bekerjasama dengan pemilik bagi menjadikan tanah itu produktif semula, sama ada untuk pengeluaran lateks atau getah untuk pasaran eksport.

Dalam perkembangan sama, Johari berkata sesi penerangan tertutup dengan kepimpinan tempatan di Padang Terap akan diteruskan bagi memperhalusi pelaksanaan pelan berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pimpinan tempatan yang beri ruang kepada saya. Perbincangan secara tertutup lebih baik kerana banyak perkara yang saya boleh jelaskan terus tanpa kekeliruan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top