'Saya ada adik OKU, saya faham'

'Saya ada adik OKU, saya faham'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Bila baca kisahnya, terus teringat dekat adik yang juga orang kurang upaya (OKU) dan itu yang menjentik hati saya untuk menghadiahkannya telefon bimbit baharu,” kata Muhammad Izzuddin Ramli.

Muhammad Izzuddin, 33, atau dikenali sebagai Cik Din dalam kalangan pengikutnya di TikTok mendapat perhatian warganet selepas videonya menghadiahkan telefon bimbit kepada seorang lelaki OKU yang juga pekerja kedai runcit di Rhu Rendang dekat Marang, Terengganu tular di laman sosial.

Menerusi video itu, kelihatan Muhammad Izzuddin masuk ke dalam kedai runcit dengan memakai topi keledar kemudian menyerahkan telefon bimbit sebagai hadiah serta kejutan buat lelaki OKU berkenaan.

Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet tersentuh dan berterima kasih kepada Muhammad Izzuddin kerana prihatin serta sudi menghadiahkan telefon bimbit kepada lelaki OKU berkenaan sebagai ganti selepas gajet miliknya itu dicuri.

Menyingkap kisah sebenar, Muhammad Izzuddin yang juga pemilik premis telefon bimbit berkata, dia bertemu dengan lelaki OKU berkenaan semalam hasil carian maklumat di laman sosial.

“Malam kelmarin, saya tengok video kejadian (kes curi telefon bimbit) dan automatik teringat adik bongsu saya (Nur Mursyidah, 28) pun OKU dalam kategori masalah pembelajaran.

“Disebabkan simpati tengok nasibnya, saya pun gerak dari rumah pagi semalam untuk ke kedai lelaki OKU berkenaan bagi memberi hadiah telefon bimbit baharu buatnya.

“Waktu masuk ke dalam kedai runcit, dia (lelaki OKU) nampak takut mungkin sebab tengok saya pakai topi keledar malah tundukkan kepalanya ke bawah. Tapi bila keluarkan telefon bimbit dan serahkan kepadanya, baru nampak dia senyum,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Izzuddin, niatnya hanya membantu dan memberi kegembiraan kepada OKU berkenaan.

“Waktu datang ke kedai runcit, saya nampak lelaki OKU itu pegang telefon bimbit dan bila tanya siapa punya, jawabnya ia milik kakaknya.

“Jadi saya gembira kerana dapat memberinya telefon bimbit baharu sekali gus permudahkan urusannya kerana saya ada adik OKU jadi faham bagaimana perasaannya selepas kehilangan gajet.

“Lagipun, mungkin itu (telefon bimbit) saja hiburan yang ada untuknya. Maka peluang berkongsi rezeki itu beri kepuasan buat saya kerana dapat tengok dia tersenyum,” katanya.

Bapa seorang cahaya mata itu berkata, niatnya merakam detik pertemuan dengan lelaki OKU berkenaan adalah untuk kenang-kenangan.

“Saya rakam sebagai memori dan perkongsian video itu juga cara saya nak sampaikan mesej yang dalam rezeki kita, ada juga rezeki orang lain.

“Ia kerana ada yang tertanya macam mana hidup boleh semakin senang dan bagi saya, kuncinya adalah dengan memberi iaitu berkongsi rezeki.

“Sebelum ini pun, saya ada buat content (kandungan perkongsian) kemudian cari pemenang untuk bagi hadiah namun lebih tertumpu kepada orang susah,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 27 saat menunjukkan seorang individu yang datang ke kedai runcit untuk membeli rokok sebelum mencuri telefon bimbit milik pekerja berstatus OKU dekat Rhu Rendang, Marang dalam kejadian pada 21 Januari lalu.

Susulan video tular, hasil maklumat dan siasatan dijalankan, polis dapat menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes berkenaan keesokannya, 22 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top