Filem animasi kebanggaan negara, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), akhirnya memulakan tayangan rasminya di 161 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei sejak dua hari lalu. Pelancaran ini menjadikan ia filem animasi tempatan dengan jumlah tayangan terbesar dalam sejarah perfileman tanah air.
Filem ini menerima reaksi luar biasa daripada penonton dan pempengaruh tempatan yang memuji kualiti keseluruhan karya tersebut, termasuk dari aspek naratif, visual, muzik latar dan adegan aksi yang dipersembahkan dengan begitu rapi. Ramai menganggap kejayaan ini sebagai bukti kemajuan berterusan industri animasi tempatan, yang kini semakin mendapat tempat dan mampu bersaing di peringkat global.
Antara yang memberikan ulasan penuh semangat ialah pempengaruh media sosial, Ceddy Ang, yang meluahkan rasa bangga terhadap mutu produksi filem ini.
“Kalau awak seorang gamer, awak akan appreciate this movie sebab fight scene sangat mantap, animasi tip top, soundtrack pun bagus, effect semua memang terbaik! Kita dah tahu Ejen Ali memang international level, tapi bila tengok fight scene tu, saya rasa amazed. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa sangat bangga. Saya akan bagitahu satu dunia yang ‘this is our movie’. Kita tak payah cakap pasal animasi luar dah, EATM2 memang mantap!”
Turut memberikan pujian ialah Risk Saidon, pempengaruh yang dikenali sebagai peminat setia francais Ejen Ali. Beliau turut berkongsi pengalamannya menonton filem ini dan kagum dengan peningkatan ketara dari segi teknikal dan penceritaan.
“Sebelum tengok EATM2, saya dah ulang tengok filem pertama tiga kali. Dari segi animasi, yang kedua ni memang nampak kelainan, lebih halus dan lebih matang. Nampak betul effort animator. Watak pun nampak aging, berkembang ikut masa. Effect air pun memang menjadi. Filem pertama memang dah over the top, dan yang kedua ini still best, cuma kena fikir lebih sikit. Secara keseluruhan, best gila, saya bagi 10/10. Saya memang syorkan bawa anak-anak tengok!”
Sambutan hangat dan maklum balas memberangsangkan daripada peminat serta warga media sosial jelas menunjukkan Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar sekuel biasa, tetapi satu pencapaian penting dalam landskap animasi negara.
Filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman sinematik yang penuh aksi dan emosi ini. Ayuh sertai misi dan tempah tiket anda hari ini!