Saya akan bertanggungjawab, kata menteri Taiwan susulan nahas kereta api

Saya akan bertanggungjawab, kata menteri Taiwan susulan nahas kereta api
Ahli keluarga mangsa berkumpul di lokasi nahas kereta api di Hualien. (Gambar AP)

HUALIEN: Menteri pengangkutan Taiwan hari ini berkata, beliau tidak akan bersikap lepas tangan berkenaan nahas kereta api baru-baru ini, sekalipun tawaran beliau untuk meletak jawatan ditolak di kala timbulnya persoalan mengenai isu keselamatan yang mungkin menjadi punca.

Dalam nahas kereta api terburuk di pulau itu dalam tempoh tujuh dekad, 51 orang disahkan terkorban setelah sebuah kereta api ekspres yang sesak dengan penumpang merempuh sebuah trak berhampiran bandar timur Hualien pada Jumaat, menyebabkan kereta api itu tergelincir dan bahagian depannya hancur.

Bercakap di lokasi nahas, Lin Chia-lung berkata, beliau dia tidak akan “menghindari” tanggungjawab.

“Saya juga bertanggungjawab untuk meminimumkan kerosakan yang disebabkan oleh keseluruhan kemalangan. Setelah keseluruhan kerja penyelamatan selesai, saya yakin saya akan memikul tanggungjawab itu,” kata beliau.

Menurut Pejabat Perdana Menteri Su Tseng-chang, Lin telah membuat tawaran lisan untuk mengundurkan diri pada Sabtu, tetapi Su menolaknya buat sementara waktu, dengan berkata, buat masa ini usaha harus ditumpukan kepada penyelamatan dan pemulihan.

Trak yang dirempuh itu menggelongsor di jalan yang landai ke arah landasan kereta api tepat di luar terowong. Siasatan sedang dijalankan ke atas pengurus tapak pembinaan, Lee Yi-hsiang, yang traknya disyaki tidak menggunakan breknya dengan betul.

Lee telah dibebaskan dengan jaminan, walaupun cawangan mahkamah tinggi di Hualien hari ini membatalkan keputusan itu selepas pihak pendakwa mengemukakan rayuan.

Beberapa persoalan dikemukakan terhadap kementerian pengangkutan, dan pentadbiran kereta api yang berada bawahnya, termasuk mengapa lokasi itu tidak berpagar tersebut dan sama ada terlalu banyak tiket bagi penumpang berdiri dijual.

Bapa saudara kepada mangsa termuda yang disahkan terkorban, seorang kanak-kanak perempuan berusia berusia lima tahun, berkata kepada wartawan, beliau masih menunggu permintaan maaf atas nahas itu.

“Saya sangat marah,” kata beliau, dengan linangan air mata.

Kerajaan Taiwan telah menjanjikan pampasan dan akan melakukan apa sahaja untuk membantu mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.

Bahagian landasan kereta api yang rosak hanya akan dibuka paling awal pada 20 April, kata timbalan menteri pengangkutan Wang Kwo-tsai, manakala Lin berkata usaha menyelamat dan pemulihan akan terus dijalankan.

Nahas itu berlaku pada awal hujung minggu yang panjang bagi perayaan Cheng Beng, ketika orang ramai pulang untuk menguruskan kawasan perkuburan ahli keluarga.

Scroll to Top