'Saya akan jaga adik dengan baik seperti arwah mama pesan' – Anak Nurulhuda

'Saya akan jaga adik dengan baik seperti arwah mama pesan' – Anak Nurulhuda

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Putrajaya: “Kehilangan mama (ibu) sangat berat buat kami tetapi saya akan kuatkan semangat demi empat adik dan menjaga mereka dengan baik seperti pesanan mama yang selalu berpesan setiap hari minta saya jaga adik-adik,” kata Nuzul Hafizan Afiq Abd Wahab, 25,

Nuzul Hafizan Afiq, 25, adalah anak sulung kepada Nurulhuda Ramli, 41, mangsa yang terkorban dalam nahas selepas Perodua Viva dinaiki bersama tiga individu lain dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran pusat komersil di sini, hari ini.

Nuzul Hafizan Afiq berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya pada minggu lalu kerana sebelum ini dia menetap di asrama tempat kerja di Rawang dan mengakui insan tersayang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika ditemui.

Menurutnya, dia dan empat adik yang semuanya lelaki berusia lapan hingga 21 tahun itu kini yatim piatu selepas bapa mereka juga sudah meninggal dunia sejak kira-kira lima tahun lalu.

“Adik-adik kini di rumah dan mereka sudah tahu mengenai kejadian ini serta masih bersedih. Selepas ini saya akan tinggal bersama mereka dan bekerja seperti biasa (di Rawang), saya akan jaga adik-adik dengan baik seperti arwah mama pesan.

“Sejak dari kecil mama sudah melatih saya membantunya termasuk buat kerja rumah dan menjaga adik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya, di sini, sebentar tadi.

Pemuda itu berkata, dia reda dengan pemergian ibunya namun mengakui kenangan mereka bersama tidak akan luput daripada ingatannya dan menyifatkan walaupun wanita itu seorang yang agak garang dan tegas namun penyayang selain rajin memasak.

“Mama suka bawa kami pergi ke pantai, selalu pergi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan dan makan-makan sejak kami kecil. Itu akan selalu saya kenang selain masakan mama seperti rendang serta ayam masak merah,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis mengesahkan empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar penghadang jalan berhampiran susur masuk pusat komersil berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top