PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Firdhaus Farmizi, 27, berharap perjalanan seninya yang datang daripada keluarga biasa dalam memberi inspirasi kepada anak muda untuk terus mempercayai bakat yang mereka miliki.
Kongsi Firdhaus yang kini sedang mencipta nama di industri muzik berbahasa Mandarin berkata, dia berpegang kepada prinsip untuk terus berusaha walaupun tiada sesiapa dalam keluarga berpengalaman dalam bidang muzik.
“Awal perjalanan saya sekitar lima atau enam tahun lepas, masa itu saya memang ada satu sasaran untuk saya di mana saya harap satu hari saya boleh ke luar negara, boleh buat konsert di luar negara.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jadi bila sekarang ini saya dapat merealisasikan impian saya, saya bersyukur, Alhamdulillah saya ada peluang untuk nak merasai pengalaman ini semua.
“Saya datang dari famili yang biasa saja. Keluarga saya memang tak ada yang menceburi bidang muzik.
“Saya pun berharap saya dapat memberi inspirasi kepada kepada bakat-bakat yang baru, mereka yang nak masuk industri ini,” katanya.
Mengulas mengenai perjalanan kerjayanya sehingga kini, Firdhaus tidak menyangka apabila diberi penghormatan menerima trofi Penyanyi dan Penulis Paling Berpengaruh atau The Most Influential Singer Songwriter of The Year sempena The Knights Award Season 5: A World of Influence, baru-baru ini.
“Sebenarnya saya sangat gembira sebab dapat anugerah ini, sebab anugerah yang saya terima ini digelar sebagai The Most Influential Singer-Songwriter of the Year.
“Jadi bagi saya, lagu-lagu yang saya tulis, selama beberapa tahun ini ada orang nampak dan hargai. Jadi bila dapat ‘title’ macam ini, bagi saya, saya rasa sangat bangga dan sangat berterima kasih kepada The Knights Award,” katanya.
Tidak berhenti di situ, Firdhaus sekarang sedang sibuk menguruskan konsert jelajahnya, Flat Earth Theory yang bakal diadakan di Hong Kong dan Taiwan.
“Disember nanti ada di Hong Kong. Tahun depan insya-Allah di Taiwan dan kalau boleh, harap-harap boleh balik mengadakan di Kuala Lumpur,” katanya. -UTUSAN




