am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Saya sentiasa berdoa supaya tahun ini bukan yang terakhir saya sambut Aidilfitri bersama anak-anak dan suami selepas disahkan menghidap kanser tahap empat, Januari lalu,” kata Sharifah Awang Omar, 44.
Sharifah berkata, dia disahkan menghidap kanser payudara selepas mendapati bengkak pada payudara kanannya makin membesar dan merebak ke hati serta paru-paru.
Katanya, lebih menyedihkan apabila doktor mengesahkan kanser itu sudah berada di tahap empat menyebabkan dia terkejut namun reda dengan apa yang berlaku.
“Saya sebenarnya dah rasa petanda hidap kanser sejak tahun lalu apabila bahagian belakang pinggang selalu sakit tetapi bahagian payudara tak sakit.
“Cuma Januari lalu, saya sedari payudara saya kanan bengkak agak besar dan terus melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Saya rasa dunia saya gelap seketika apabila doktor mengesahkan kanser saya sudah di tahap empat dan merebak di tempat lain, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keranji, Mukim Telaga Mas di sini, hari ini.
Sharifah berkata, akibat kanser itu juga menyebabkan berat badannya makin susut serta hilang selera makan.
Katanya, dia runsing memikirkan empat anak yang berusia enam tahun hingga 19 tahun serta suami, Mohd Riddhuwan Nayan, 40-an, jika apa-apa berlaku padanya.
“Suami bekerja sebagai penoreh getah tetapi sejak kebelakangan ini dia tidak dapat memotong getah disebabkan cuaca panas dan getah tidak menjadi.
“Disebabkan itu, dia terpaksa mencari kerja kampung untuk meneruskan kehidupan kami serta menyara empat anak, ” katanya.
Sharifah berkata, dia yang tinggal bersama ibunya, Siti Aisyah Abdullah, 77, turut dibantu adiknya, Sabariah Awang Omar yang menjaga makan minum serta membawanya ke HSB setiap dua kali sebulan.
Menurutnya, dia baru dua kali menjalani rawatan kemoterapi di HSB dan akan menjalani kemoterapi ketiga tidak lama lagi malah kesan bengkak itu sudah mulai kecut.
Katanya, baginya sambutan Aidilfitri tahun ini tidak lagi bermakna kerana sakit yang dihidapinya itu.
“Anak-anak pun tak beli lagi baju raya, persediaan langsung tak buat lagi sebab suami pun terjejas mata pencarian akibat cuaca panas kali ini.
“Kalau ada duit, saya nak beli baju raya anak-anak dahulu kerana nak menggembirakan hati mereka malah saya reda andai saya pergi dahulu,” katanya.
Menurutnya, dia berharap dapat bertahan kerana mahu bersama anak-anak, suami, ibu dan adik kerana tahun lalu, dialah yang paling sibuk melakukan persiapan raya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui 02075025243081 Bank Islam milik Sharifah Awang Omar atau menghubunginya di talian 010-5020029.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi Sharifah dan menghulurkan sumbangan untuk kegunaannya sekeluarga.
Zuraini berkata, pesakit memerlukan sokongan semua pihak dan beliau berharap supaya dia meneruskan rawatan doktor bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.
© New Straits Times Press (M) Bhd



