Pelakon, Amyza Aznan gagal menahan rasa sebak dan tidak henti menitiskan air matanya ketika berkongsi perasaan mengenai penampilannya yang kini sudah berhijab sepenuhnya sejak bulan 10 tahun lalu.
Ketika ditemui XTRA, Amyza, 50, menjelaskan keputusan tersebut tiada sebarang kaitan dengan ujian yang dilaluinya sebelum ini, sebaliknya hanya mahu memuliakan diri sendiri.
“Tiada dorongan daripada sesiapa. Apabila Allah berkehendak, segalanya berlaku dalam sekelip mata.
“Ada yang kata kemungkinan saya berhijab sebab dugaan atau ujian sebelum ini, tetapi tidak.
“Saya berhijab sebab nak rasa diri saya mahal. Anak-anak pun memberi sokongan dan bahagia dengan tindakan saya ini,” katanya.
Ketika disoal mengenai apakah yang perubahan jiwa yang dirasai setelah bertudung, aktres drama rantaian popular Rindu Kasih ini terdiam seketika lalu meluahkan dengan jujur segala yang berlaku adalah tanda kasih sayang Sang Allah terhadapnya.
“Saya tak tahu nak terangkan macam mana, Allah itu dia sayang saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Amyza menjelaskan dia enggan mengulas lebih lanjut berhubungan penghijrahannya itu kerana bimbang padangan masyarakat.
“Saya tak nak terlalu berkongsi sebab takut akan ada banyak perbalahan. Zaman sekarang semua nak bagi pendapat,” katanya.
Dalam pada itu, Amyza meluakan rasa syukur penghijrahannya itu tidak menjejaskan karier perjalanan seninya, malah dia terus menjaga batas pergaulan dengan pelakon lelaki sama seperti sebelumnya.
“Dari segi tawaran kerja Alhamdulillah, masih ada walaupun berimej lain. Dari segi batasan pula, sebenarnya sebelum berhijab lagi saya memang sudah menjaga batas.
“Melainkan ada adengan kasar yang tidak dapat dielakkan. Selepas berhijab semuanya berjalan lancar.
“Saya juga mudah untuk bekerjasama dengan pelakon lelaki sebab mereka faham dan menghormati batas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amyza bakal membintangi drama Anugerah Tanpa Cahaya yang akan bersiaran sebanyak 10 episod bermula 16 Mac di platform penstriman Tonton.
Selain Amyza, drama tersebut turut dilakonkan oleh barisan pelakon hebat iaitu Puteri Balqis, Azhan Rani, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail.
Artikel Berkaitan: “Hati Saya Rapuh ” – Anak Hidap Kanser Paru-Paru Tahap Tiga, Amyza Aznan Perlu Masa Untuk Reda




