PARIS: Celtic gagal pada kempen Liga Juara-Juara apabila tewas 2-1 pada masa tambahan sekali gus tersingkir dengan agregat 3-2 di tangan Midtjylland pada pusingan kedua kelayakan dan pengendalinya, Ange Postecoglou mengakui ‘saya bertanggungjawab.’
Celtic yang menjadi kelab British pertama muncul juara Eropah pada 1967 hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang yang terhidang untuk mendahului perlawanan dan bakal beraksi di Liga Europa menentang pasukan dari Republik Czech, Jablonec.
“Bencana bermakna semuanya sudah berakhir – tetapi ia belum berakhir (buat kami),” kata Postecoglou yang baru dilantik sebagai pengendali pasukan itu.
“Ada yang menyatakan kelab ini gagal. Tetapi itu bukanlah isunya. Saya tidak boleh meminta lebih lagi daripada pemain. Saya bertanggungjawab dan tidak menyalahkan sesiapa.”
Callum McGregor memberikan harapan buat mereka apabila mendahului tiga minit selepas babak kedua bersambung sebelum James Forrest mensia-siakan peluang untuk meletakkan mereka lebih selesa di depan.
The Glaswegians akhirnya kerugian apabila Midtjylland mengikat kedudukan selepas sejam permainan dan ketinggalan secara agregat apabila Raphael Onyedika meledak gol empat minit selepas babak pertama masa tambahan.
Kelab dari Denmark itu bakal berdepan PSV Eindhoven pada pusingan kelayakan ketiga selepas wakil Belanda itu menyingkirkan Galatasaray 7-2 secara agregat.
Dalam perlawanan lain, Sparta Prague bangkit daripada kekalahan 2-1 pada aksi pertama untuk meraih kemenangan 2-0 ke atas Rapid Vienna sementara juara Eropah 1991, Red Star Belgrade membelasah Kairat 5-0 untuk mara dengan agregat 6-2.
Wakil dari Greece, Olympiakos menang 1-0 ke atas Neftchi Baku untuk melengkapkan agregat 2-0.
Sheriff Tiraspol pula menewaskan Armenia’s Alashkert 4-1 secara agregat manakala Cluj terlalu hebat apabila menundukkan Lincoln Red 2-0 untuk menghimpun agregat 4-1.
Ludogorets menang 3-1 secara agregat ke atas NS Mura sementara Young Boys Berne mengetepikan Slovan Bratislava 3-2 selepas aksi pertama berakhir tanpa jaringan. -AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




