SHAH ALAM – Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda mengambil langkah menyahpasang aplikasi navigasi Waze dan beralih kepada TuJu.
Tindakan itu dikongsikan menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial susulan arahan kerajaan melarang penggunaannya dalam kalangan penjawat awam.
“Sebagai Ahli Dewan Negara, saya juga turut berhenti (uninstall) aplikasi Waze dan mula menggunakan aplikasi TuJu,” menurut kenyataan itu di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta.
Menerusi pemakluman rasmi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan diarahkan memastikan keputusan tersebut dimaklumkan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk pelaksanaan segera.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif kepada Waze bagi keperluan navigasi jalan raya.
Menurut beliau, cadangan penggunaan aplikasi alternatif tersebut dikemukakan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat kerana aplikasi Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.
TuJu merupakan aplikasi navigasi tempatan yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membantu pengguna mendapatkan panduan perjalanan di jalan raya.
![[TERKINI] Pelajar 16 tahun serang guru dipercayai bawa kapak dan mercun ke sekolah [TERKINI] Pelajar 16 tahun serang guru dipercayai bawa kapak dan mercun ke sekolah](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kapk_HMfield_image_socialmedia.var_1792576014.jpg)


