‘Saya bukan ahli sihir’ – Yusri Che Lah

‘Saya bukan ahli sihir’ – Yusri Che Lah

Para pemain Perak sudah bersedia melayan kunjungan Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh pada Sabtu. – Foto Facebook Perak FC.

KETUA jurulatih sementara Perak FC, Yusri Che Lah menuntut para pemain memberikan aksi terbaik untuk mencuri mata dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Ipoh pada Sabtu.

Ketika harapan tinggi peminat The Bos Gaurus yang menagih kemenangan buat pasukan, Yusri selesa memberi fokus satu persatu setiap permainan.

Justeru Yusri mengharapkan sokongan padu peminat kerana dia tidak mampu mengubah pasukan dalam tempoh segera.

“Saya bukanlah ahli sihir yang boleh menukar pasukan sekali gus. Saya harapkan kehadiran penonton untuk membantu beri sorakan kepada pemain,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook Perak FC pada Jumaat.

Perak FC ketika ini menghuni tangga ke-11 liga setelah mengutip sembilan mata hasil daripada dua kemenangan dan tiga seri.

Yusri turut berharap anak-anak buahnya menikmati sebaik mungkin perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri dengan menghadiahkan kemenangan buat para penyokong.

“Dalam masa sama pemain perlu lebih berasa yakin ketika beraksi nanti kerana ini peluang mereka untuk cuba mendapatkan mata ketika beraksi di halaman sendiri,” katanya.

Tambahnya, walaupun beraksi dalam keadaan cuaca panas, namun dia percaya semua pasukan menerima dengan positif untuk beraksi pada sebelah petang.

“Saya berharap pemain berikan yang terbaik lawan Terengganu dan cuba adaptasi cara permainan yang saya terapkan,” ujarnya.