'Saya bukan nak duit tapi perjuangkan hak' – Usahawan produk kecantikan menang saman kecuaian pembedahan hidung

'Saya bukan nak duit tapi perjuangkan hak' – Usahawan produk kecantikan menang saman kecuaian pembedahan hidung

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bersyukur kerana kemenangan berpihak kepada saya.

“Saya bukan nak duit (ganti rugi) tapi perjuangkan hak kerana mahukan keadilan,” kata usahawan produk kecantikan, Adam Hamil atau dikenali Danny.

Danny, 43, menang tuntutan saman terhadap seorang doktor yang kononnya ada kepakaran dalam bidang estetik dan bertanggungjawab mengendalikan pembedahan pembentukan atau mencantikkan hidung (rhinoplasty) membabitkan dirinya pada 21 Mei 2021.

Kemenangan berpihak kepada Danny selepas Mahkamah Rayuan pada 28 Januari lalu menolak rayuan dikemukakan oleh Dr Chiam Tee Kiang selaku defendan pertama yang didakwa melakukan kecuaian ketika mengendalikan prosedur berkenaan.

Menurut Danny, emosinya amat terganggu selepas mengalami kecacatan hidung akibat menjalani pembedahan ‘rhinoplasty’ dikendalikan doktor berkenaan hingga malu berdepan orang ramai dan terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri kesan trauma dan kemurungan.

“Waktu permulaan dulu saya banyak menggunakan pelitup muka kerana tak sanggup berdepan dengan orang.

“Emosi saya memang sangat terganggu kerana perlu dapatkan rawatan psikiatri selama hampir tiga tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

“Sampai sekarang pun, saya masih menerima rawatan dan tak boleh tak makan ubat, kesan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabat Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini.

Danny berkata, selain gangguan emosi, dia turut menanggung kerugian kerana perlu membelanjakan kira-kira RM250,000 bagi memperbetulkan hidungnya berbanding kos pembedahan sebanyak RM10,000 saja.

“Ada juga yang menyalahkan saya pergi tempat tak bertauliah, hakikatnya saya pergi jumpa doktor yang sah.

“Dia yang iklankan (perkhidmatan) di laman sosial dan waktu jumpa, doktor itu tunjuk testimoni artis dan Insta Famous. Hidung saya pula senget waktu itu dan dia kata boleh bantu luruskan.

“Siapa saja tak nak hidung sempurna, saya yakin jadi setuju buat tapi tak sangka dia bukan doktor bertauliah dalam bidang estetik.

“Saya ambil pengajaran daripada apa yang terjadi dan nasihat saya kepada orang ramai, kena hati-hati serta ingat tak semestinya pergi klinik berdaftar, doktor di situ bertauliah melakukan pembedahan. Jadi kita perlu ambil tahu kelulusan dan kepakarannya,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, keputusan berpihak kepada anak guamnya selepas mahkamah mendapati defendan menjalankan pembedahan di luar skopnya.

Beliau berkata, atas kecuaian itu, mahkamah memerintahkan defendan pertama membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM341,770 kepada plaintif.

“Jumlah itu merangkumi ganti rugi am sebanyak RM150,000, ganti rugi khas sebanyak RM68,239.55, perbelanjaan perubatan masa hadapan sebanyak RM23,530.45 serta ganti rugi teladan sebanyak RM100,000.

“Selain itu, defendan pertama juga diperintahkan membayar faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman itu bermula daripada tarikh (penghakiman) sehingga penyelesaian penuh dan muktamad kepada plaintif.

“Mahkamah turut memerintahkan defendan pertama membayar kos prosiding sebanyak RM80,000 bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan RM70,000 bagi prosiding di Mahkamah Rayuan, tertakluk kepada alokatur,” katanya.

Wan Azmir berkata, ganti rugi itu disebabkan hidung anak guamnya akibat pembedahan dijalankan.

“Diharap hukuman dikenakan ini menjadi pengajaran kepada pengamal perubatan lain.

“Dalam kes ini, doktor terbabit bukan tak ada lesen perubatan malah bertauliah cuma tiada kepakaran buat pembedahan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Danny memfailkan saman sebanyak RM2.7 juta terhadap dua doktor dari sebuah klinik kesihatan terkenal selepas mengalami kecacatan di hidungnya.

Writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 28 Mac 2022 difailkan HWAM yang mewakili Danny.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top