'Saya bukan ubah (bahagian wajah) tapi buat sebab nak perbaiki kesilapan' – Prince Syed

'Saya bukan ubah (bahagian wajah) tapi buat sebab nak perbaiki kesilapan' – Prince Syed

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bukan mengubah (bahagian wajah) tapi buat sebab nak perbaiki kesilapan.” Demikian reaksi Prince Syed, 34, atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman ketika diminta mengulas berkenaan video terbaru dimuat naiknya yang seolah-olah memberi bayangan dia melakukan pembedahan plastik.

Menjelaskan hal sebenar, Prince Syed menafikan melakukan pembedahan plastik untuk mengubah bentuk wajahnya. Sebaliknya, bengkak pada wajah seperti dalam video dikongsikan itu adalah kesan prosedur membuang minyak silikon pada wajah yang dijalankan di sebuah klinik dekat Negeri Sembilan, pada Isnin lalu.

“Saya pernah buat suntikan filler pada wajah sekitar 2012 dan 2013 kerana terpengaruh dengan rakan ketika bergelar model satu ketika dulu.

“Katanya wajah akan bertambah elok selepas disuntik dan dapat lebih banyak tawaran sebagai model.

“Jadi saya pun cuba dan memang betul dapat banyak tawaran tapi lama kelamaan, saya sedar wajah tidak lagi tegang malah semakin kendur. Bila naik berat, muka jadi kembang.

“Lama kelamaan, baru saya tahu apa yang disuntik dulu bukan filler tapi minyak silikon dan sebab itu jadi begitu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Prince Syed, dia sudah lama berhasrat membuang silikon berkenaan namun tidak jumpa tempat yang sesuai.

“Kecewa juga tapi bila jumpa sebuah klinik, doktor berkenaan boleh bantu buang silikon berkenaan.

“Ambil masa tiga jam setengah (30 minit) juga untuk buat prosedur itu dan tempoh hari, buat bahagian pipi kanan dengan kiri dulu.

“Kena fokus bahagian itu terlebih dahulu dan kemudian, barulah buat bahagian bawah mata kerana muka tengah bengkak. Lagipun, itu yang disarankan doktor.

“Memang kena buat (mengeluarkan silikon) kerana jika tidak, muka jadi lebih teruk. Cuma ramai ingat saya buat pembedahan plastik selepas muat naik video di TikTok.

“Hakikatnya tak pun tapi ramai juga tanya nak buat di mana kerana mahu buang silikon,” katanya.

Prince Syed berkata, perkongsian itu sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran dan membuka mata orang ramai mengenai prosedur pengeluaran silikon.

“Setahu saya, hukum mengeluarkan silikon wajib jadi kena ikhtiar untuk buat.

“Jujurnya tak menyesal dengan apa dilakukan dulu kerana anggap ia sebagai perjalanan hidup dan pembelajaran untuk jadi manusia yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top