'Saya buntu, tak tahu macam mana lagi nak dapatkan MyKad'

'Saya buntu, tak tahu macam mana lagi nak dapatkan MyKad'

Shah Alam: Akibat perkahwinan ibu bapa tidak pernah didaftar, seorang wanita terpaksa ‘menebalkan muka’ hampir dua dekad berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) demi mendapatkan haknya sebagai seorang warganegara yang sah di sisi undang-undang.

Perjuangan Fitra Etika Shamsul Bahri, 30, untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri tidak pernah terhenti sejak mula mengemukakannya pada usia 12 tahun dan terbaharu pada 3 Februari lalu, namun ibu muda ini disarankan memohon Pemastautin Tetap (MyPR) atau Pemastautin Sementara (MyKas) oleh JPN Putrajaya.

Menemui Fitra Etika di kediaman ibu mentuanya di Merbau Indah, di sini baru-baru ini, wanita yang mesra dipanggil Eira ini berkata ikhtiar yang dilakukannya itu bukan sekadar ‘turun naik’ pejabat JPN, tetapi turut menggunakan platform media sosial rasmi agensi itu bagi mengetengahkan masalah dihadapinya.

“Saya dah buntu, tak tahu macam mana lagi nak dapatkan kad pengenalan (MyKad). Dah pelbagai cara dilakukan termasuk meninggalkan komen menerusi setiap hantaran berita mereka yang berjaya mendapatkan MyKad serta pertanyaan berkaitan permohonan ini pada media rasmi JPN.

“Tetapi usaha saya hanya terhenti di kaunter pertanyaan sahaja dan sering diminta merujuk ke pihak lain termasuk kedutaan Indonesia. Keadaan itu berulang-ulang, memakan masa dan kos dan membuatkan saya tertekan,” katanya.

Berkongsi realiti getir dihadapinya itu, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata ketidaktentuan masa depan berpanjangan yang dihadapinya berpunca daripada perkahwinan bapanya, warganegara Malaysia dengan ibunya rakyat Indonesia yang dilangsungkan di Malaysia tetapi mengikut dokumentasi negara asal ibunya.

Perkahwinan itu juga bagaimanapun tidak pernah didaftarkan di Malaysia dan keadaan semakin sukar apabila bapanya terlibat dalam kemalangan serius pada bahagian kepala sehingga tidak mampu mengingati kewujudan Fitra Etika dan disahkan sebagai pesakit mental.

“Ayah sempat mendaftarkan kelahiran saya sebelum ayah kemalangan ketika saya berusia dua tahun. Sijil kelahiran itulah menjadi satu-satunya dokumen pengenalan diri yang ada sehingga kini. Sejak ayah sakit, tanggungjawab membesarkan saya dipikul sepenuhnya nenek dengan bantuan ahli keluarga ayah, mak long dan mak su.

“Mereka jugalah yang banyak bantu saya turun naik JPN bagi urusan MyKad. Ibu pula seorang warganegara Indonesia telah meninggalkan saya ketika berusia lapan bulan dan sehingga kini tidak diketahui keberadaannya,” katanya.

Situasi semakin sukar apabila Eira merancang mendirikan rumah tangga pada 2020 dengan suaminya warga Malaysia, dan sekali lagi ke JPN dengan harapan perkahwinan dapat membuka ruang penyelesaian, namun usaha itu terus menemui jalan buntu.

“Ada yang mencadangkan terbang ke Indonesia bagi mendapatkan sijil nikah asal ibu bapa dan perlu membawa ayah sekali, namun dalam keadaan ayah pergerakan amat terbatas. Tiga bulan jugalah saya uruskan proses nak berkahwin termasuk naik-turun mahkamah … daftar pernikahan, kursus semuanya gunakan sijil kelahiran.

“Pegawai di jabatan agama hadir ke rumah, lihat keadaan ayah yang sakit, tidak sesuai jadi wali dan saya dan suami akhirnya bernikah berwalikan hakim,” katanya yang kini berstatus sebagai bukan warganegara dalam sijil pernikahan itu.

Pernah disarankan untuk mendapatkan khidmat guaman, namun kos yang tinggi serta maklumat diterima tidak jauh berbeza dengan penjelasan sebelum ini menyebabkan usaha tersebut masih lagi samar dan menemui jalan buntu.

Ketiadaan dokumen pengenalan diri selama 30 tahun, menyaksikan Eira menjalani kehidupan dengan kebergantungan sepenuhnya kepada orang lain termasuk suami, ibu bapa mentua serta ahli keluarga dalam urusan asas seperti membeli keperluan harian, mengurus mepersekolahan atau rawatan kesihatan anak-anak.

Kebergantungan berpanjangan itu perlahan-lahan menghakis keyakinan dirinya apabila merasakannya seolah-olah tidak berguna, menjadi beban kepada orang sekeliling termasuk ketidakupayaan membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik, walhal keadaan itu bukan berpunca daripadanya.

“Anak sakit dan kalau suami tiada di rumah, mak atau ayah mentua yang tolong hantar ke klinik. Ada hari memang termenung fikir masa depan sendiri,” katanya yang turut mengakui pernah berdepan situasi ditahan polis ketika pemeriksaan rutin, satu pengalaman yang meninggalkan kesan trauma berpanjangan setiap kali berada di luar rumah tanpa dokumen pengenalan diri.

Di sebalik kesengsaraan hidup tanpa kewarganegaraan, keinginan Eira untuk berdikari dan membantu ekonomi keluarga tidak pernah pudar termasuk menyimpan hasrat mendapatkan pendidikan formal sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak kecil, saya hanya belajar kelas agama KAFA, tidak merasa langsung masuk ke sekolah rendah dan menengah. Hanya belajar dengan bantuan ibu saudara yang merupakan seorang pengajar tuisyen, ikut sama-sama belajar dengan pelajarnya selain inisiatif melalui bahan bacaan seperti buku dan akhbar,” katanya.

Ketika ini, wanita itu membantu suaminya menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih sejuk beku mengikut tempahan, satu-satunya ruang yang masih boleh diusahakannya walaupun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kalau ada MyKad, saya teringin sangat berniaga betul-betul secara sah, buka gerai seperti jualan but kereta. Paling penting, saya nak buka akaun bank,” katanya sambil menambah usahanya tidak akan terhenti demi merealisasikan impiannya selama ini, menikmati kehidupan normal sebagai warganegara Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top