Tanjong Malim: “Saya cemburu dengan anak saya, amalan apa yang dibuat, satu Malaysia mendoakan, memberikan ucapan yang positif. Terima kasih semua.”
Demikian kata-kata Azizul Abdul Aziz, 48, bapa kepada Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul yang meninggal dunia selepas hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa, dekat sini, Sabtu lalu.
Jenazah remaja berusia 18 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, 3.05 pagi tadi.
Jenazah Nur Izzati Humaira dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor pada 12.19 tengah malam.
Terdahulu, jenazah anak kedua daripada empat adik-beradik itu dibawa ke Masjid Ar-Riduaniah Felda Trolak Utara, di sini untuk disolatkan.
Azizul mengimamkan sendiri solat jenazah pada 2.20 pagi tadi bersama dengan kira-kira 50 jemaah di masjid berkenaan.
Dalam pada itu, Azizul ketika ditemui media selepas selesai pengebumian anaknya berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan agensi yang terbabit dalam usaha mencari serta mendoakan supaya Nur Izzati Humaira ditemukan selepas kehilangannya pada 23 Mei lalu.
“Dan satu yang kami sekeluarga harapkan, teruskan berdoa dan janganlah ada spekulasi yang tak sepatutnya keluar daripada mulut kita,” katanya.
Beliau berkata, sambutan Aidiladha tahun ini meninggalkan erti pengorbanan kepada keluarga berikutan kejadian yang menimpa anaknya.
“Selepas ini akan saya ingati, apabila hari raya sahaja genaplah tahun-tahun kepergian Angah meninggalkan kami, tetapi apa-apa pun Angah tetap akan hidup dalam hati kami.
“Saya dan isteri menjadi saksi, Angah ialah anak yang terbaik untuk kami. Insya-Allah bermainlah di taman-taman syurga Angah,” katanya.
Semalam, mayat remaja itu ditemukan di luar laluan mendaki oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.59 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi, Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya.
Allahyarham dipercayai mengambil keputusan untuk berjalan sendirian bagi sampai lebih awal ke kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum dilaporkan hilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




