Setiap insan pasti melalui fasa jatuh dan bangun dalam kehidupan. Buat penyanyi bersuara lunak, Salamiah Hassan, tempoh 74 tahun yang dilaluinya bukan sekadar dihiasi kenangan indah dalam dunia seni dan pencapaian, malah turut dipenuhi kisah duka, pengorbanan serta pencarian makna kebahagiaan yang hakiki.
Dalam satu sesi pemulihan dalaman bersama pakar pembangunan diri, Dr. Hisham Dzakiria di Ascott Kuala Lumpur baru-baru ini, Salamiah hadir dengan penuh ketenangan dan keceriaan, memperlihatkan sisi dirinya yang jarang diketahui umum.
Sesi tersebut menjadi platform buat Salamiah meluahkan emosi terdalam, berkongsi detik-detik peribadi dan bagaimana dia kembali bangkit setelah melalui pelbagai dugaan hidup.
“Saya dah lalui semua. Sekarang ni saya cuma nak buat yang terbaik. Bukan untuk siapa-siapa, tapi untuk diri sendiri, keluarga dan untuk jumpa suami di jannah,” luah Salamiah.
Salah satu pengakuan paling menyentuh jiwa ialah apabila Salamiah buat julung kalinya menceritakan tentang hubungan peribadinya selama dua dekad bersama seorang lelaki yang akhirnya meninggal dunia akibat kanser tahap empat ketika pandemik melanda.
Hubungan itu dirahsiakan sepenuhnya daripada anak-anak dan keluarga sehinggalah Salamiah yakin dengan isi hatinya.
“Saya sendiri simpan rahsia itu lama. Sampai anak-anak pun tak tahu. Bila saya pasti dengan apa yang saya rasa, barulah saya beritahu mereka. Mereka semua terkejut,”kongsinya.
Dedah Salamiah, anak lelakinya turut pernah bertanya: “Apa bukti mama kenal dia?”
Namun bagi Salamiah, bukti kasih sayang itu tidak semestinya bersifat fizikal, tetapi hadir dalam bentuk nasihat dan pesanan yang kekal menjadi sumber kekuatannya.
“Dia selalu pesan, ‘Jadi apa yang you nak jadi dalam hidup’. Sampai sekarang saya ingat. Itu yang buat saya terus nak jadi lebih baik,” katanya lagi.
Dalam sesi bimbingan itu, Salamiah melalui proses visualisasi dan teknik pernafasan mendalam yang membantunya mengenali siapa dirinya dahulu, dirinya sekarang dan diri yang ingin dicapai di masa akan datang. Ia menggunakan pendekatan psikologi yang lembut berdasarkan kaedah NLP (Neuro-Linguistic Programming), bukan hipnosis.
“Manusia ni penuh dengan corak (pattern). Kalau nak berubah, kita kena tahu pattern mana yang rosakkan kita. Dan kena tukar dengan pattern yang bantu kita jadi lebih baik,” jelas Dr. Hisham sambil membimbing Salamiah membina ‘hologram diri’ untuk melihat potensi sebenar dalam aspek emosi dan fizikal.
Salamiah juga berkongsi kini dia lebih menghargai kedamaian jiwa berbanding sorotan luaran. Banyak pakaian mewah yang dahulu menjadi koleksinya kini disedekahkan kepada saudara-mara dan rakan bukan Muslim.
“Dulu saya suka beli baju. Sekarang saya bagi pada orang. Baju yang tak ada lengan saya bagi pada mereka yang bukan Islam, baju yang berlengan saya beri pada anak-anak saudara. Saya rasa ringan bila saya lepaskan,” katanya.
Namun di sebalik ketabahan yang ditonjolkan, Salamiah turut mengakui pernah merasa penat, kecewa dan sukar mempercayai orang lain.
“Saya susah nak percaya orang. Bila kawan kongsi masalah, saya simpan. Tapi bila tiba giliran saya, saya tak tahu nak cerita pada siapa. Tapi saya belajar satu perkara. Menangis itu bukan lemah. Menangis tu sebenarnya tanda kita dah mula healing,” katanya lagi.
Salamiah turut berkongsi setiap kali menunaikan solat, air matanya pasti gugur apabila mengingati insan tersayang yang meninggal dunia pada hari Jumaat, satu pemergian yang dia anggap penuh kemuliaan.
“Saya bersyukur, dia pergi pada hari yang baik. Itu orang baik,” ujarnya dengan tenang.
Sesi hampir sejam itu disimpulkan dengan mesej mendalam untuk menjadi individu lebih baik, seseorang perlu terlebih dahulu mengenal dirinya sendiri. Ketenteraman sebenar bukan datang dari luar, tetapi bermula dari dalam diri.
“Saya nak sihat, saya nak tenang, saya nak gembira. Kalau orang cakap pasal saya pun, saya tetap senyum. Sebab itu pahala saya,” tutup Salamiah.