Pelakon versatile, Azhan Rani mendedahkan dia sudah lama tidak memakai baju Melayu setiap kali sambutan Hari Raya sejak pemergian bapanya pada tahun 2016.
Kata Azhan, sehingga kini dia masih mengenakan t-shirt setiap kali sambutan Hari Raya dek kerana masih terkenangkan arwah bapanya.
“Masa dia ada, saya seronok dengan Hari Raya. Setiap Hari Raya saya akan create kita pakai baju sedondon, baju Melayu dan seingat saya selepas 2016 arwah abah pergi setiap Hari Raya, saya cuma pakai t-shirt sahaja sembahyang Hari Raya.
“Sampai nak pakai Baju Melayu pun saya dah tak sanggup dah. Saya rasa dah lama tak pakai baju Melayu sembahyang Raya,” katanya.
Perkara itu dikongsi Azhan ketika ditemu bual dalam podcast, Sembang Seram baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon draama bersiri popular, Nur itu berkata, dia hanya memakai busana itu ketika terbabit dalam penggambaran drama yang memerlukan wataknya mengenakan pakaian tersebut.
Tambahnya, rakan terdekatnya juga ada yang terasa hati apabila dia kerap menolak pelawaan mereka untuk berhari raya bersama.
“Saya pakai baju Melayu pun kalau dalam cerita sahaja. Dalam cerita saya pakailah. Saya tak ada mood nak beraya pun. Saya tak pergi beraya ke mana-mana kecuali kalau mak saya kata nak jumpa saudara dia atau jumpa kawan dia saya bawa.
“Tapi, kalau saya nak pergi beraya ke rumah orang memang tak. Sebab saya masih lagi akan terkenang dia. Kadang-kadang orang sampai kecil hati, ajak pergi beraya.
“Saya sudah lama reda, cuma saya akan lebih tersentuh, lebih terkesan kalau saya pergi beraya. Saya akan teringat. Sebab raya saya dulu hanya dengan Abah. Saya rasa seronok dengan dia,” jelasnya.
Azhan atau nama lengkapnya, Azhan Abdul Rani, 49, mengakui dirinya berasa cemburu setiap kali melihat individu lain masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada bapa masing-masing.
“Bila kita tak dapat salam tangan orang tua, orang yang pernah menjaga kita yang paling banyak berjasa dengan kita, kita akan rasa itu ‘hilang’.
“Sebab itu saya selalu cemburu pada orang yang masih ada bapa, orang yang boleh pimpin bapa kesini kesana. Saya cemburu, sebab saya sudah tak ada benda tu. Masa tu kita terfikir banyak benda yang patut saya buat dengan dia tapi, saya tak dapat buat. Benda tu yang sangat-sangat saya rasa bersalah.
“Dan paling pedih bila saya dapat cerita-cerita tentang bapa,” ujarnya.