am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Saya dah menyesal, saya mohon ikat jamin.” Demikian rayuan kontraktor yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan isterinya yang juga doktor kerana enggan berhenti membeli makanan, Khamis lalu.
Tertuduh, Mohd Farid Sahak, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan kejadian berlaku dalam kereta di Jalan Tukas, Taman Soga, di sini, 2.20 petang, 19 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.
Berdasarkan laporan dibuat, polis menerima laporan daripada seorang wanita memaklumkan dia dipukul suami.
Hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang juga isteri tertuduh memintanya berhenti di kedai untuk membeli makanan.
Bagaimanapun, tertuduh tidak melayani permintaan wanita itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka berdua.
Kemuncaknya apabila tertuduh menumbuk lengan kanan isterinya sebanyak enam kali menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk serahan dokumen dan juga lantikan peguam.
Pada masa sama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan syarat agar tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




