'Saya dah tak boleh jalan'

'Saya dah tak boleh jalan'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Ampang:”Terima kasih kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) kerana masih ingat kepada kita,” demikian kata-kata bekas wartawan Berita Harian, Jamhariah Jaafar, 61.

Jamhariah yang menghidap ketumbuhan di tulang belakang sejak dua tahun lalu berkata, bantuan yang disumbangkan menerusi program ‘BSN Care 50 Memberi – BSN Jengah, TKHM Singgah’ terbabit amat diperlukan olehnya kini.

Selain itu, katanya, kunjungan atau ziarah oleh rakan ke rumahnya juga membolehkannya mengembalikan nostalgia lama sewaktu bekerja dan meneruskan kehidupan.

“Dengan sumbangan ini, ia sangat membantu. Kadang-kadang (ia membantu) membayar cukai jalan (kenderaan nak) habis (dan) bayar sewa rumah.

“Apabila kita berhenti kerja swasta, kita sudah tidak ada pendapatan lagi dah kerana sumber pendapatan sudah putus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Kunjungan ke rumahnya itu diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), Husain Jahit.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

Pada 28 November lalu, TKHM buat julung kalinya bekerjasama bersama BSN menerusi program ‘BSN Care 50 Memberi – BSN Jengah, TKHM Singgah’ bersempena sambutan ulang tahun jubli emas BSN yang ke-50 tahun ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu meraikan pengamal media yang berperanan penting sebagai pencetus pembentukan minda masyarakat berinformasi.

Seramai 13 pengamal media, termasuk bekas wartawan dari agensi media menerima sumbangan wang tunai dan Kotak Rezeki berupa barangan keperluan asas.

Program CSR itu bukan sahaja bertujuan menghargai sumbangan mereka dalam membentuk masyarakat berinformasi, tetapi juga membantu meringankan beban kewangan ditanggung.

Mengulas lanjut, Jamhariah berkata, dari segi perbelanjaannya, ia masih lagi tidak berkurang, ditambah bil perubatan yang perlu dibayar.

“Walaupun anak-anak sudah besar tapi perbelanjaan kita tidak ada yang berkurang. Kita juga perlu membayar bil,” katanya yang masih ceria melayan kunjungan di rumahnya walaupun sedang terlantar sakit.

Menyentuh mengenai penyakit yang dihidapinya, Jamhariah berkata, beliau kini sudah tidak boleh berjalan akibat penyakit yang dihidapinya itu.

“Ketumbuhan tulang belakang ini tiba-tiba sahaja ada dan sakit. Saya sudah tidak boleh berjalan.

“Saya pun tak tahu mengapa. (Kini) Hospital Kuala Lumpur dan dua tiga pusat (kesihatan) tengah lihat,” katanya.

Selain itu, beliau juga menganggap ia merupakan salah satu ujian terhadapnya dan reda untuk menghadapinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top