Kuala Lumpur: “Saya sudah tak larat, mata pun kelabu,” kata pengacara, pelakon, pelawak dan bekas penyampai radio popular, Salih Yaacob yang berdepan kekangan kesihatan akibat faktor usia.
Salih atau nama sebenar, Mohammad Salih Yaacob, 65, berkata dia lebih banyak berehat di rumah kerana keadaan kaki semakin lemah selain penglihatan terhad.
“Tempoh hari, saya kena darah tinggi selepas bulan Ramadan, tetapi nasib baik tidak serius. Cuma sekarang kedua-dua kaki sudah tidak kuat macam dulu.
“Jalan boleh, tapi hendak bangun susah, kena dipapah. Mata pun sudah tak nampak jelas sebab pandangan makin kelabu, jadi saya berjalan pun kurang seimbang.
“Umur pun sudah lebih 60 tahun, jadi saya banyak berehat di rumah sahajalah,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, pelawak Ajak Shiro berkongsi dalam media sosial kunjungannya di kediaman bintang veteran itu bagi bertanya khabar dan memaklumkan keadaan fizikal Salih tidak sekuat dahulu, terutama bagi pergerakan jauh.
Mengulas perkara itu, Salih mengakui terharu dengan keprihatinan rakan artis, namun memilih untuk tidak terlalu menghebahkan status kesihatannya.
“Ajak datang melawat bersama pasukannya. Tapi saya seboleh-bolehnya tidak mahu dihebohkan. Mana yang masih ingat saya, Alhamdulillah. Kalau tak ingat pun tak mengapa, saya tak kisah.
“Selain Ajak, ada juga rakan lain datang melawat seperti Den Wahab. Saya kalau boleh tak mahu susahkan sesiapa,” katanya.
Salih memulakan kerjaya seni sebagai penyanyi menerusi lagu Puteri Remaja pada 1985 sebelum mencipta populariti sebagai penyampai radio dengan gelaran ‘Abang Jem’.
Salih kemudian menyertai stesen radio Sinar FM pada 2006 menerusi segmen Sinar Pagi bersama Raja Azura dan Khairil Rashid sebelum mengundurkan diri pada 2019.
© New Straits Times Press (M) Bhd




