mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Semuanya berlaku secara spontan. Waktu itu saya baru sahaja lepas berbuka puasa, memang tak ada sebarang ‘preparation’ untuk menyanyi dan keadaan kesihatan kurang mengizinkan.
“Tiba-tiba Dr Azmeer minta menyanyi secara spontan, jadi memang agak terkejut. Sesi itu pun sebenarnya bukan persembahan rasmi, lebih kepada sesi santai dan pembelajaran.”
Demikian penjelasan penyanyi baharu Intan Nor Mayasari, 25, atau Intan Maya yang kini dikenali menerusi lagu Cinta Tersimpul Rapi yang dinyanyikannya semula.
Intan Maya dikecam teruk kerana didakwa tidak bersedia, selain lupa lirik semasa diminta oleh Azmeer selaku komposer untuk menyanyikan lagu itu, baru-baru ini.
Menurutnya, Azmeer banyak membantu memberikan panduan semasa memantau nyanyiannya.
“Dia ada di sebelah saya dan ‘guide’ saya waktu itu. Saya pun ada maklumkan keadaan saya yang kurang mengizinkan sebelum menyanyi.
“Pada masa sama, sebagai artis yang masih baru, mestilah ada rasa gemuruh, lagi-lagi bila kena menyanyi depan orang dan di hadapan komposer hebat.
“Mungkin riak muka saya nampak macam ‘blur’ atau tengah fikir, tapi sebenarnya saya cuba ‘recall’ lirik sambil control gemuruh dan keletihan pada masa yang sama,” katanya.
Intan Maya bagaimanapun bersyukur kerana ramai peminat yang memahami situasinya dan memberi sokongan positif.
“Saya anggap semua ini sebagai proses belajar dan pengalaman untuk saya jadi lebih baik dalam karier,” katanya.
Mengulas sambutan Aidilfitri, Intan Maya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik bersyukur menyambutnya dengan penuh bermakna.
“Raya tahun ini untuk saya agak simple tapi tetap bermakna. Sebagai anak bongsu, saya banyak luangkan masa dengan keluarga. Cuma suasana itu rasa sedikit berbeza sebab ayah dah tiada.
“Manakala adik-beradik lain pun masing-masing ada komitmen sendiri. Dari segi peminat pula, ada juga yang datang menyapa dan ada juga yang beri sokongan di media sosial, itu pun dah cukup bermakna untuk saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




