redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bintulu: “Waktu itu, saya hanya mampu mengucap dan anggap ia mungkin kali terakhir dapat melihat dunia,” kata Abdul Jalil Bujang ketika berkongsi pengalaman mencemaskan yang dilaluinya ketika menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke sini.
Kisah Abdul Jalil,66, tular selepas dia berkongsi gambar dengan kapsyen menceritakan pengalamannya di media sosial selepas berdepan insiden berkenaan.
Berkongsi kisah sebenar, Abdul Jalil berkata, dia dan isteri, Norkalbe Rapae, 65, menaiki penerbangan itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.20 pagi kelmarin.
Katanya, itu bukan kali pertama dia menaiki pesawat kerana kerap berulang alik ke Kuala Lumpur memandangkan sering juga menziarahi anak yang menetap di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“September lalu dan bulan ini pun saya kerap ke sana (Kuala Lumpur) dan yang terbaru menghadiri resepsi perkahwinan salah seorang anak di sebelah perempuan dekat Batu Pahat, Johor.
“Dalam pesawat pun, semuanya okay malah kru bertugas sempat hidangkan makanan dan air panas cuma dalam dua ke tiga kali, saya ada dengar bunyi ganjil.
“Cuma tak pasti apa dan tak lama selepas itu, pesawat terus menjunam ke bawah hingga pelitup oksigen terkeluar. Kemudian, saya dengar kapten (juruterbang) ada buat pengumuman kecemasan tapi tak beritahu apa puncanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Abdul Jalil, lebih kurang lima minit juga kejadian itu berlaku dan baginya, ia lebih menakutkan berbanding gegaran di udara (turbulence) dan poket udara (air pocket) pernah dialami sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun, dia tidak mendengar jeritan atau tangisan penumpang dalam pesawat berkenaan.
“Pesawat jadi senyap sunyi mungkin kerana penumpang lain pun tergamam dengan apa yang berlaku.
“Isteri di sebelah saya pun diam… dia tak menangis, sama dengan penumpang di sebelah kanan saya,” katanya.
Abdul Jalil berkata, niatnya memuat naik gambar itu adalah untuk pengetahuan keluarganya jika berlaku perkara tidak diingini.
“Tapi syukur kerana tak ada yang buruk berlaku selepas kapten umumkan pesawat stabil waktu di ketinggian 10,000 kaki (3,048 meter) dan kami semua pun selamat sampai di Lapangan Terbang Bintulu tepat pada waktunya iaitu 10.35 pagi dalam keadaan hujan renyai.
“Terima kasih kepada kapten dan kru kapal kerana bagi saya, mereka sudah melakukan yang terbaik.
“Cuma, saya tak tahu apa punca sebenar dan difahamkan, ia disebabkan tekanan udara menurun (pressure drop) secara tiba-tiba.
“Selepas membaca komen-kome serta cerita pengalaman netizen di Facebook (FB), baru saya faham apa sebenarnya berlaku, punca dan apa fungsi pelitup oksigen,” katanya yang tidak serik menaiki pesawat kerana sedar risiko boleh dihadapi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




