'Saya hanya saksi, bukan mangsa… henti sebarkan gambar MyKad'

'Saya hanya saksi, bukan mangsa… henti sebarkan gambar MyKad'

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang individu merayu kepada orang ramai supaya henti menularkan gambar MyKadnya yang didakwa sebagai mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, di sini, semalam.

Rayuannya tular menerusi video 59 saat yang dimuatnaik di media sosial.

Individu berkenaan berkata, penyebaran kad pengenalannya itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi turut menjejaskan keselamatannya.

“Gambar IC (kad pengenalan) yang dikongsi ke beberapa kumpulan di aplikasi WhatsApp itu milik saya. Saya hanya saksi, bukan mangsa yang lompat atau terjun dari jambatan.

“Saya tidak tahu bagaimana gambar kad pengenalan itu boleh tular,” katanya dalam rakaman video berkenaan.

“Saya tak tuduh mana-mana pihak bocorkan gambar IC itu cuma saya mohon hentikan perbuatan sebarkan ia dalam grup WhatsApp.

“Jika terus disebarkan, saya minta maaf kerana nombor telefon yang menyebar gambar itu akan dimasukkan dalam laporan polis saya,” katanya lagi.

Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, panggilan diterima pihaknya pada 6.56 petang.

Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Maritim Malaysia serta Pasukan Polis Marin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top