'Saya harap bapa dapat ditemui sama ada hidup atau pun mati'

'Saya harap bapa dapat ditemui sama ada hidup atau pun mati'

am@hmetro.com.my

Melaka: “Saya harap bapa saya dapat ditemui sama ada hidup atau pun mati,” kata Susanti Muarep, 41, anak kepada nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan, di sini, Rabu lalu.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga reda sekiranya apa-apa berlaku ke atas bapanya, Muarep Sakim, 63 jika itu sudah ditakdirkan Allah SWT.

“Kali terakhir saya berhubung dengan bapa adalah pada Ahad lalu dan dia menyatakan hasrat untuk menangkap ikan selepas dua bulan tidak turun ke laut kerana mengalami kerosakan enjin bot.

“Saya mengetahui insiden yang menimpa bapa itu apabila dimaklumkan oleh ibunya ketika berada di tempat kerja di Klebang, pagi tadi.

“Saya terkejut sehingga tangan saya menggigil sebelum adik membawa saya ke jeti ini untuk mendapatkan maklumat sebenar,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Padang Temu, di sini hari ini.

Susanti yang tinggal di Bukit Rambai, di sini berkata, bapanya sudah lebih 40 tahun bekerja sebagai nelayan dan selalu bertanya khabar keluarga meski pun sudah berpisah dengan ibunya lebih 25 tahun lalu.

“Dia kerap memberi hasil tangkapan laut kepada kami. Justeru, sekali lagi saya berharap bapa ditemui selamat dan kami akan setia menunggu,” katanya.

Muarep bersama rakannya, Rosenizam Maharam, 50, dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di perairan Pulau Undan, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, nelayan terbabit dipercayai menggunakan bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 dengan warna coklat biru sebelum dilaporkan hilang oleh rakan nelayannya yang lain.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh majikan kedua-dua mangsa, nelayan berkenaan dikatakan keluar memukat pada 15 Januari lalu dan kali terakhir mereka berhubung adalah pada jam 10 pagi semalam yang memaklumkan enjin bot yang digunakan mengalami kerosakan.

Sementara itu, EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turun padang ke Pusat Kawalan Operasidi Jeti Nelayan Padang Temu, di sini hari ini.

“Kita sudah menghubungi dengan pihak berkuasa Indonesia untuk membantu kita mengesan kedua-dua mangsa ini dan serentak itu, saya mohon kepada seluruh masyarakat untuk sama-sama berdoa supaya Allah memudahkan urusan pencarian nelayan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top