'Saya hilang rumah dibina hasil titik peluh bertahun dalam sekelip mata'

'Saya hilang rumah dibina hasil titik peluh bertahun dalam sekelip mata'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Dalam sekelip mata rumah yang dibina hasil berniaga kedai kopi sejak sekian lama musnah dalam kebakaran malam tadi,” kata mangsa kebakaran rumah di Kampung Kedai Buloh, di sini, hari ini.

Asmah Yusoff, 49, berkata, rumah itu baru didiami lima tahun lalu selepas diubahsuai dengan kos berjumlah RM80,000.

“Semuanya musnah begitu sahaja dan sangat menyedihkan melihat rumah terbakar di depan mata tapi Alhamdulillah, nyawa saya masih panjang.

“Ketika kejadian malam tadi, hanya saya seorang di rumah dan sebaik terdengar bunyi bising dari luar, saya bergegas mencari kunci kerana pagar gril berkunci.

“Sebaik keluar dan melihat rumah jiran sedang terbakar disusuli dengan bunyi beberapa letupan akibat tong gas, saya terus keluar dan hanya sempat mencapai telefon bimbit sahaja,” katanya.

Asmah berkata, turut hangus adalah wang tunai berjumlah RM8,000 hasil jualan di kedai kopi yang disimpannya di dalam bilik tidur.

Katanya, rasa trauma masih dirasai dan belum memikirkan lagi mengenai operasi kedai kopinya malah mungkin mengambil masa untuk memulakannya semula.

“Buat masa sekarang saya dan suami menumpang rumah ibu tidak jauh dari kedai kopi kami dan belum fikir lagi sama ada ingin membina semula rumah yang musnah terbakar ini atau bagaimana kerana bukan mudah untuk lakukannya (bina) dalam masa singkat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam tadi, lapan rumah terbakar dengan lima daripadanya musnah 100 peratus manakala selebihnya 10 peratus.

Turut terbakar adalah sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal kuasa besar.

Seorang lagi mangsa, Norma Muhammad, 48, berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari sejumlah tong gas kosong yang dimiliki sepupunya yang juga penjual gas yang disimpan di luar rumahnya.

“Sepupu tumpang simpan kira-kira 30 tong gas kosong itu di luar rumah saya dan kebakaran itu juga menyebabkan beberapa letupan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top