suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemuda yang baru pulang ‘dating’ dengan teman wanitanya ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam tadi selepas didapati positif ganja.
Lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat itu mendakwa hanya menghisap ‘vape’ dan mendakwa tidak pernah mengambil dadah.
Bagaimanapun, dia disahkan positif dadah jenis ganja selepas menjalani ujian saringan awal air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika operasi.
“Saya hanya hisap vape (rokok elektronik) je bang, tak pernah ambil ganja. Hisap rokok pun saya tak pernah.
“Flavor (perisa) yang saya selalu beli pun murah je…RM23,” katanya kepada Harian Metro.
Pemuda terbabit turut mengaku sudah dua tahun menggunakan rokok elektronik dan sering menukar perisa cecair yang dibeli.
Anak kelima daripada enam adik-beradik itu berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pantai Dalam sebelum ditahan dalam operasi itu.
“Saya pernah ditahan kira-kira dua bulan lalu oleh AADK di Pantai Dalam. Saya dilepaskan namun menjalani saringan sebanyak dua kali,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan ketika memandu kereta bersama isteri, abang ipar dan adiknya.
Menurutnya, dia bersama keluarga sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Petaling.
Pemeriksaan dan ujian saringan air kencing mengesahkan lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.
Lelaki itu juga mengaku jarang mengambil dadah dan hanya ambil dalam dua minggu sekali.
“Saya beli peket kecil je dengan harga RM30 dan kali terakhir ambil tiga hari lalu.
Saya ambil pun sebab ikut kawan,” katanya.
Menurutnya, keluarganya termasuk isteri tidak tahu yang dia mengambil dadah.
Difahamkan, semua individu yang didapati positif dadah itu akan dibawa ke Pejabat AADK Sentul untuk tindakan lanjut.
Operasi bersepadu itu membabitkan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta PLUS Berhad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




