Kota Kinabalu: Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadikan ibunya sebagai tempat utama untuk meluahkan masalah, suka duka serta bercerita mengenai persahabatannya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Ibunya, Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 berkata hubungan mereka sangat rapat dan beliau bukan sahaja berperanan sebagai ibu, malah juga seorang kawan kepada anak tunggalnya itu.
“Hubungan saya dengan Zara Qairina memang rapat. Saya sebagai ibu, saya juga sebagai kawan. Apa sahaja perkara, yang susah yang di sekolah, perkara lucu, semua kami akan bercerita bersama,” katanya pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau berkata tiada orang lain di rumah yang menjadi tempat Zara Qairina meluahkan perasaan, justeru segala cerita mengenai suka duka dan persahabatannya dikongsi bersama beliau.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakilinya, Noraidah berkata beliau menguruskan hampir keseluruhan keperluan harian Zara Qairina sejak kecil, termasuk persiapan ke sekolah, pakaian, sekolah agama, kerja rumah serta urusan persekolahan.
Katanya keadaan itu kerana bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim @ Marikan, bekerja di luar Sipitang dan jarang berada di rumah, menyebabkan urusan penjagaan, persekolahan, perbelanjaan serta kebajikan anak mereka banyak diuruskan olehnya.
Beliau berkata hubungan rapat itu juga membolehkannya mengetahui perubahan emosi Zara Qairina menerusi cerita anaknya mengenai persahabatan, termasuk ketika berdepan ejekan.
Sepanjang Zara Qairina berada di sekolah rendah, Noraidah berkata beliau tidak pernah melihat anaknya mengalami masalah serius dari segi emosi atau tingkah laku.
Beliau berkata apabila Zara Qairina bersedih atau kecewa, perkara itu kebiasaannya berkaitan perselisihan dengan rakan atau perkara yang berlaku dalam kehidupan sehariannya.
Dalam keadaan sedemikian, Noraidah berkata beliau akan memberi kata-kata semangat dan mengingatkan Zara Qairina bahawa masih ada peluang untuk memperbaiki diri.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina sejak awal teruja untuk tinggal di asrama kerana mahu merasai kehidupan berdikari, selain mempunyai teman serta pelajar senior yang boleh dianggap sebagai kakak.
Beliau berkata Zara Qairina begitu bersemangat selepas mendapat tawaran memasuki sekolah berasrama dan mereka bersama-sama membuat persiapan, termasuk membeli pakaian serta barangan keperluan.
Katanya hari pertama menghantar Zara Qairina ke asrama pada 18 Februari 2025 juga merupakan kali pertama Noraidah berjauhan dengan anak tunggalnya itu.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




