am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Saya tolong wanita itu dan bayinya itu secara ikhlas dan atas sifat sebagai manusia,” kata Shamshul Anuar Aziz, 44.
Shamshul Anuar adalah Setiausaha Surau Madrasatul Huda, Nyior Setali di Jalan Pegawai, dekat sini, yang tular selepas membantu menyelamatkan seorang wanita India bersama bayinya, Khamis lalu.
Kisah itu di tular di media sosial sehingga mendapat pujian daripada netizen yang berterima kasih kepada Shamshul Anuar kerana membantu wanita itu tanpa mengira bangsa.
Menceritakan semula kejadian itu, dia dimaklumkan oleh sepupunya pada 8.15 malam yang ada seorang wanita berada di belakang rumahnya, tidak jauh dari surau itu.
Katanya, dia yang masih berada di surau itu selepas selesai solat Maghrib dan kemudian menyuruh sepupunya pergi dahulu melihat apa yang berlaku sebelum dia menyusul tidak lama kemudian.
“Dengan bantuan seorang rakan berbangsa India, mereka kemudian berkomunikasi sesama mereka sebelum saya membawa wanita itu ke surau ini untuk berlindung sementara waktu.
“Wanita itu kelihatan murung dan nampak seperti tertekan menyebabkan saya dan beberapa surau ini tekad untuk membantunya.
“Wanita itu memberitahu suaminya dalam penjara dan tinggal di rumah rakannya kira-kira 200 meter di kawasan ini tetapi mereka bergaduh disebabkan masalah kewangan menyebabkan dia lari membawa anaknya sehingga sampai di sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Shamshul Anuar berkata, sepanjang wanita itu berada di surau berkenaan, mereka memberinya makan dan minum selain membeli susu tin untuk bayi berkenaan.
Katanya, dia kasihan melihat keadaan dua beranak itu namun berusaha memuat naik video di aplikasi Tik Tok sebagai usaha untuk mengesan keluarganya.
“Nampak umurnya masih muda dalam 20-an dan bayinya juga seperti baru lahir.
“Tidak lama kemudian kami berjaya menghubungi abang wanita itu yang menetap di Pulau Pinang dan dia meminta kami menghantar adiknya ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Alor Setar.
“Kami bernasib baik kerana sempat membeli tiket trip terakhir perjalanan komuter dari Alor Setar ke Butterworth pada 10.18 malam dan abangnya menunggu di sana untuk menjemput adiknya itu.
“Saya dan beberapa rakan menghantar dua beranak itu ke stesen kereta api dan menunggu sehingga kereta api bergerak,” katanya.
Shamshul berkata, wanita itu juga sempat melambai tangan sewaktu berada dalam kereta api dan wajahnya menunjukkan dia sangat gembira.
Katanya, dia berharap dapat bertemu semula wanita itu dan anaknya suatu hari nanti.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berketurunan India yang ditemukan dalam keadaan cemas dan kebingungan meminta jemaah Surau Madrasatul Huda, Nyior Setali, di sini supaya tidak menghalaunya kerana takut.
© New Straits Times Press (M) Bhd