am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menolak pelawaan untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ dan tetap berpegang teguh kepada PAS.
Annuar yang dipecat daripada UMNO pada 2022 mendakwa ada individu yang menghubunginya dan mengajak pulang semula kepada parti itu, kelmarin.
“Sahabat-sahabat saya dua tiga orang sudah membuat keputusan untuk ‘balik’ lalu mengajak saya bersama bagi melengkapkan pasukan.
“Saya jawab dengan penuh reda dan ikhlas. Pertamanya, ucapan terima kasih kepada UMNO yang sekurang-kurangnya mungkin ada sedikit kesedaran cuba mengukuhkan tali Allah, mudah-mudahan.
“Saya menghargainya dan mengucapkan terima kasih,” katanya pada pada majlis pelancaran jentera Badar Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) Pemuda PAS Selangor di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Selangor, Muhamad Rashid Muhmad Kassim.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dilaporkan berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO.
Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berkata, selepas dipecat beliau mengambil masa yang lama untuk menilai parti politik di Malaysia.
“Waktu tak ada parti, saya menoleh ke belakang membuat penilaian, opsyen yang ada di hadapan… boleh sahaja keluar sekejap dengan niat nak masuk balik atau sertai parti kecil yang undang saya untuk menjadi orang besar dalam parti mereka.
“Ada juga parti yang tidak mengundang saya iaitu PAS kerana mereka takut kepada saya. Namun selepas berfikir panjang, saya ambil keputusan menghubungi Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dan memaklumkan dengan hati reda serta menjadi ahli PAS dalam membantu berjuang dalam parti.
“Oleh itu kepada rakan-rakan yang ajak saya ke ‘Rumah Bangsa’… atas undangan saya ucap terima kasih, atas jawapan, saya istiqamah dengan PAS dan tidak akan kembali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




