redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Biarpun tidak nampak, saya kena sambung belajar kerana mahu kehidupan lebih stabil,”.
Itu tekad pelayan restoran, Marcos Joel, 32, yang mengalami masalah penglihatan sejak berumur 16 tahun akibat jangkitan pada matanya kesan penggunaan kanta lekap.
Berikutan itu, kehidupan Marcos berubah dan perlu belajar menjalani hidup dengan penglihatan mata kanan pada tahap 30 peratus saja manakala yang kiri hanya nampak cahaya.
Bagaimanapun, keinginan mengubah hidup dan minat belajar mendorongnya menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kemudian Ijazah Sarjana Muda Penyiaran dan Kewartawanan di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.
Bermula 22 Januari depan, Marcos yang berasal dari Sri Aman, Sarawak akan mengikuti Program Diploma Pengajaran Lepasan Ijazah (PGDT) di Open Univeristy Malaysia (OUM) dekat Setapak, di sini dengan pengajian secara dalam talian.
Bercerita lanjut, Marcos mengakui sedih dengan nasib menimpanya kerana diberitahu doktor yang tiada peluang untuk sembuh.
“Dulu, saya normal namun pada 2007, pandangan saya tiba-tiba jadi kabur selepas mandi kolam. Hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan calar pada kornea mata saya.
“Doktor kata tidak boleh buat rawatan di Sarawak kerana tiada pakar kemudian rujuk saya ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan akhirnya perlu jalani pembedahan kornea (kornea transplan) kerana yang asal sudah rosak dan pecah.
“Memang hampir putus asa tapi perlahan-lahan terima kerana mengenangkan keadaan diri yang sudah tak nampak jadi perlu sambung belajar untuk ubah nasib diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Perumahan Awam Hang Tuah, di sini
Marcos mengakui bukan mudah menjalani hidup sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana perlu membiasakan diri untuk melakukan banyak rutin harian tanpa terlalu bergantung dengan orang sekeliling.
Katanya, bukan semua individu memahami malah ada yang pernah memperlekehkannya.
“Waktu sekolah, ada guru yang tulis di papan hitam dan dan minta buat-buat faham saja apa diajar kerana tak nampak seolah nampak kami pelajar OKU tiada minat nak belajar.
“Nak diterima bekerja yang sesuai dengan kelulusan pula banyak persaingan dan pernah pergi temuduga kerja penjawat awam tetapi tiada rezeki apabila gagal dalam peperiksaan serta terlepas panggilan temuduga.
“Ketika bercinta dengan orang celik pula ada yang ambil kesempatan dengan tak setia selain tak diterima keluarganya.
“Sebab itu, saya tak sangka bertemu jodoh dengan isteri yang sangat memahami malah kami serasi kerana dulu sama-sama normal tetapi kini ada masalah penglihatan,” katanya yang mempunyai seorang cahaya mata diberi nama Blessy Joanna berumur setahun empat bulan dan kini dijaga ibunya di Sarawak.
Berkongsi hala tujunya, Marcos berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan peluang pekerjaan kerana mahu hidup yang lebih selesa.
“Jika ada mana-mana pihak boleh bantu sambung belajar atau beri peluang kerja, saya sangat alukan kerana ekonomi kini amat mencabar.
“Jadi dengan pendidikan dan peluang kerja dapat ubah hidup dan berharap lebih banyak universiti beri peluang kepada OKU,”, katanya yang juga seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan pelakon drama radio.
Sementara itu, isterinya, Kin Sin Ee, 30, yang mempunyai masalah penglihatan sejak berusia 21 tahun berkata, dia akan menyokong minat suaminya untuk menyambung pengajian.
“Saya sokong saja kerana mana tahu nanti dia (suami) dapat kerja dengan gaji baik jadi hidup kami akan lebih baik
“Buat masa ini, saya cuba bantu suami dulu dengan bekerja sebagai juruurut di Kepong,” katanya yang bergerak dengan bantuan tongkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




