Paris: Zinedine Zidane yang disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Perancis selepas Piala Dunia 2026, menyatakan bahawa tugas itu adalah satu ‘impian’ dan beliau tidak sabar untuk menyahut cabaran berkenaan.
Zidane, 52, berkata demikian dalam satu acara yang dianjurkan oleh penaja lamanya, Adidas, menurut laporan media Perancis.
“Saya rasa saya layak untuk mengendalikan pasukan Perancis, pasukan yang saya pernah wakili dan habiskan hampir 12, 13, 14 tahun sebagai pemain.
“Sudah tentu ia satu impian. Saya tidak sabar menantikannya,” kata Zidane, bekas kapten Les Bleus yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1998.
Rakan gandingannya di bahagian tengah dalam perlawanan akhir itu serta ketika kemenangan Euro 2000, Didier Deschamps, sudah mengetuai skuad Perancis sejak 2012.
Deschamps membawa Les Bleus menjuarai Piala Dunia 2018 tetapi sudah mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan tugasnya selepas Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Sebagai jurulatih, Zidane pernah membawa Real Madrid menjulang tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah dan dua kejuaraan La Liga.
Namun, beliau belum kembali ke dunia kejurulatihan sejak meninggalkan Real buat kali kedua pada tahun 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd