'Saya lihat dia terkapai-kapai melambai tangan sebelum hilang depan mata' – Bapa

'Saya lihat dia terkapai-kapai melambai tangan sebelum hilang depan mata' – Bapa

am@hmetro.com.my

Bachok: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kemayang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa, Muhamad Irfan Mohd Afendi hilang di depan mata ayahnya, Mohd Afendi Ya, 44.

Mohd Afendi berkata, dia ke pantai berkenaan bersama isteri, Kartini Mahmood, 44 dan dua anak bagi memenuhi permintaan anaknya, Irfan yang mahu mandi pantai kerana minggu depan dia akan berkhatan.

“Kami sudah mahu balik dah masa panggil anak, kami lihat dia makin lama semakin jauh dipukul ombak, saya lihat dia terkapai-kapai melambai tangan.

“Saya cuba capai tangan anak tapi tak sampai dan anak hilang depan mata,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, PBKI, Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.14 petang.

Katanya, seramai 33 anggota bomba Bachok termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPA) Pengkalan Chepa dan bomba sukarela bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu pacuan empat roda 4×4 terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, setakat ini bomba membuat pencarian di pesisir pantai dengan radius keluasan lima kilometer sejak petang tadi sehingga malam ini.

“Kita akan teruskan pencarian di pesisir pantai dan selaman akan dibuat pagi esok kerana keadaan ombak yang kuat dan berisiko, setakat ini tiada petunjuk baru ditemui dan operasi pencarian diteruskan,” katanya.

Katanya, pusat kawalan bomba (PKB) turut dibuka di pantai berkenaan bagi pencarian murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top