Usahawan dan selebriti media sosial terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tidak menyembunyikan rasa teruja apabila mengetahui Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membeli beberapa unit beg tangan jenama miliknya ketika sesi penstriman langsung di TikTok, baru-baru ini.
Menurut Aliff, dia pada mulanya ragu dengan berita tersebut, namun setelah menyemak sistem transaksi dan mendapati bayaran telah dibuat, dia mengakui teruja dengan sokongan luar biasa yang diberikan oleh penyanyi tersohor itu.
“Siti antara individu yang kerap masuk ‘live’ saya di TikTok. Saya macam tak percaya apabila pengikut beritahu Siti beli beg saya.
“Bila semak dalam sistem, memang ada beberapa jenis beg yang dibeli. Bila tertera bayaran sudah dibuat, saya pun terus rasa seronok,” katanya.
Menganggap sokongan Siti sebagai satu penghormatan buat usahawan tempatan, Aliff turut meluahkan rasa bangga kerana figura seperti pelantun lagu Cindai itu memilih untuk menyokong produk keluaran bumiputera.
“Alhamdulillah dia ‘support’ saya punya beg. Siapa sangka orang macam beliau pun boleh sokong saya.
“Saya sangat terkejut dan anggap ini satu penghormatan luar biasa untuk diri saya. Kita semua tahu beliau boleh saja beli beg yang lebih mahal harganya, tapi pilih untuk beli daripada usahawan bumiputera macam saya,” jelasnya.
Mahu Pecah Rekod MBOR
Dalam pada itu, Aliff turut mengumumkan hasratnya untuk mencipta nama dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori “Kutipan Jualan Beg Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung” yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos 2025, jam 8 malam, menerusi TikTok @papalarisofficial.
Menerusi sesi tersebut, Aliff bakal memperkenalkan koleksi eksklusif terbaharu, Samma Bag Denim Edition yang dijual pada harga RM79.90.
Menawarkan rekaan bergaya dengan material denim berkualiti tinggi, acara jualan itu juga akan diserikan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk cabutan bertuah berupa sebuah kereta, pakej percutian ke Sugeh Resort miliknya, barangan elektrik, emas serta ‘free gift’ misteri buat pembeli bertuah.
Lebih istimewa, Aliff turut bernazar untuk menyalurkan sebahagian hasil jualan kepada rumah anak yatim sekiranya berjaya mencatat rekod jualan seperti yang disasarkan.
“Saya juga bernazar sekiranya dapat mencipta rekod Malaysia tersebut, saya akan mengagihkan sebahagian hasil jualan ke rumah anak yatim yang terpilih bagi berkongsi rezeki,” katanya.
Tambahnya lagi, hasrat mencipta rekod ini tercetus selepas melihat persaingan sengit dalam pasaran beg tangan, dan beliau mahu membuktikan jenama AS Bag serta Anthon’s Leather mampu menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan kualiti premium serta harga mampu milik.
Aliff turut menyeru orang ramai agar memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini demi memartabatkan jenama tempatan di peringkat lebih tinggi.