am@hmetro.com.my
Kluang: “Esok, perkara pertama selepas kemenangan ini, saya mahu ke pusara arwah bapa, nak beritahu ‘abah, saya dah melakukan segala-galanya’,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota yang baharu, Syed Hussien Syed Abdullah yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Ketua Pemuda Umno Kluang itu menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan atau Coach Haizan yang menerima 7,347 undi.
Ketika memaklumkan demikian, Syed Hussien kelihatan sebak apatah lagi insan kesayangannya kembali menghadap Ilahi selepas beliau diumumkan sebagai calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).
“Itulah yang pertama yang saya mahu lakukan esok. Saya berterima kasih kepada semua, terutama Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid), Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) serta kepimpinan (Umno) atas kemenangan ini.
“Alhamdulillah kita mencapai kemenangan besar hasil kerjasama berpasukan, (dan) kepada semua pengundi, saya ucapkan terima kasih,” katanya pada sidang media selepas pengumuman kemenangan itu.
Beliau juga berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya selepas diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat baharu menggantikan penyandang, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia, 2 Ogos lalu.
“Saya mahu meneruskan khidmat kepada penduduk Dun Mahkota seperti dijanjikan sepanjang kempen berlangsung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




