'Saya mangsa keganasan rumah tangga, polis pun pernah datang rumah' – isteri Edika

'Saya mangsa keganasan rumah tangga, polis pun pernah datang rumah' – isteri Edika

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nor Hidayah Yusri, 47, memaklumkan anak-anak mereka terutama yang perempuan, iaitu Fereena Nurulhaq, 20, mengetahui apa yang terjadi dalam rumah tangga ibu bapanya.

Nor Hidayah berkata, anak perempuannya itu akan menghubungi abang sulungnya jika berlaku pergaduhan antara dia dan bekas suami, Edika Yusof, 58,

yang tidak dapat dikawal.

“Malah, pihak polis juga pernah beberapa kali datang ke rumah untuk mengawal keadaan (pergaduhan) yang berlaku, Tapi, Edika memang sering menafikannya.

“Apapun, Edika boleh saja menafikan apa yang dia nak. Dia boleh cakap apa yang dia mahu. Tapi, semua yang saya kemukakan dalam mahkamah beserta bukti kukuh.

“Saya ada gambar, video dan audio. Malah, anak-anak juga menjadi saksi. Walaupun anak perempuan tak duduk dengan saya, tapi itu tidak bermaksud dia tidak tahu apa yang terjadi.

“Anak perempuan pun berpihak pada saya. Contoh kalau ada kejadian-kejadian tertentu yang tak dapat dikawal, anak perempuan saya orang pertama yang akan cari abang sulungnya atau diam-diam akan hubungi polis,” katanya.

Menurut Nor Hidayah, dia juga sudah banyak kali pergi ke Balai Polis Kepong untuk buat aduan, selain pihak berkuasa juga banyak kali datang ke rumah mereka.

Terdahulu, Nor Hidayah berkongsi perkara itu selepas selesai urusan perceraiannya dan Edika di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tidak hanya itu, Nor Hidayah turut mendakwa dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak awal perkahwinan mereka kira-kira 22 tahun lalu.

“Ya, (keganasan rumah tangga). Dalam mahkamah dia tetap mahu menafikan perkara itu. Saya tak nak (keluarkan bukti). Keganasan itu berlaku dari sebelum saya sakit… lebih 20 tahun,” ujarnya.

Edika dan Nor Hidayah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh pada jam 10.42 pagi ini.

Pada 23 April lalu, Hidayah menyenaraikan 10 alasan yang menyebabkan dia membuat permohonan cerai terhadap Edika di hadapan hakim.

Kesemua sebab dikemukakan itu disifatkan Nor Hidayah sebagai perkara kritikal sehingga membuatkan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

Nor Hidayah dan Edika mendirikan rumah tangga pada 2003 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top