'Saya manusia dan pendosa juga, bukan orang paling mulia' – Tareq Fit

'Saya manusia dan pendosa juga, bukan orang paling mulia' – Tareq Fit

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Semenyih: “Saya pernah lalai dan jauh daripada Allah SWT tapi tak pernah ajak orang ikut perkara yang tak baik.

“Benda itu pun sudah berapa tahun yang lalu tapi kenapa nak korek kesilapan lama hanya sebab nak memburukkan saya?” kata pempengaruh sensasi, Mohammad Tareq Hamood atau dikenali Tareq Fit.

Tareq, 36, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai dakwaan dia mengikuti akaun wanita seksi walaupun lantang menegur individu lain secara terbuka mengenai hal berkaitan agama.

Dia juga mengakui pernah melakukan kesilapan termasuk mengikuti akaun berkenaan namun fasa itu sudah berlalu dan kini berusaha menjadi manusia yang lebih baik.

“Dulu saya tengok ‘content’ (perkongsian) yang tak ikut agama dan Alhamdulillah, Allah SWT bagi hidayah.

“Instagram (IG) pun ada sejak 2012, dulu saya ‘follow’ (ikuti) dan bila buka Threads, automatik ‘follow’ semua.

“Tak tengok pun tapi tak sangka orang boleh korek sampai tengok siapa pengikut dan akaun yang saya ikuti.

“Mereka sengaja sedangkan saya manusia dan pendosa juga. Dulu ya saya ‘follow’ tapi sekarang tak…tak faham kenapa sampai tahap begitu sekali nak jatuhkan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Berhubung dakwaan dia mendedahkan aurat seperti yang tular di media sosial, Tareq berkata, ia adalah gambar lama yang dimuat naik semula warganet tidak senang dengannya.

“Dulu saya mungkin buat silap pakai seluar pendek …ya salah. Saya tak pernah kata pun saya mulia dan tak pernah buat dosa.

“Bila ulas video orang lain di media sosial pun, saya tak ulas perkongsian mereka yang dua atau tiga tahun lalu. Jadi bila nak ulas mengenai saya, ulas yang sentiasa saya sebarkan di media sosial, bukan cerita lama.

“Tapi ada yang cari kesilapan saya yang sudah bertahun, contohnya orang kongsi gambar saya pakai seluar pendek. Mereka tiada fakta nak berhujah jadi akan korek kesilapan lalu kerana nak memburukkan nama orang,” katanya.

Berkaitan perkongsian dalam bidang kecergasan dan buku elektronik (e-book) yang dibangkitkan warganet pula, Tareq berkata, dia tiada sijil atau kelayakan untuk menjadi jurulatih.

Dia juga mengakui mencari maklumat untuk menghasilkan buku elektronik dengan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT.

“Sekarang ini saya ada syarikat bimbingan kecergasan dan jual buku elektronik bagi menjana pendapatan selain aktif sebagai pencipta kandungan serta pempengaruh.

“Cuma saya tak ada kelayakan untuk bidang kecergasan dan belajar pun secara dalam talian. Bukan tak mampu kerana siapa pun boleh belajar dengan bayar yuran RM3,000 hingga RM4,000 tapi saya tak buat sebab nak bantu orang kembali ke fitrah ikut cara Rasulullah SAW.

“Jangan ikut saya kerana kelayakan tapi fakta. Saya gunakan ChatGPT untuk buku elektronik pula kerana aplikasi itu bantu mudahkan saya kumpulkan maklumat, kalau buat sendiri kena tangkap layar.

“Siapa usaha ikut akan dapat hasil tapi saya bukan ‘overclaim’ kata terpaling berilmu. Cuma dulu suka masak dan kongsi resipi percuma tapi jual buku elektronik selepas ramai hantar mesej bertanya,” katanya.

Mengenai sikapnya yang dikatakan tidak boleh ditegur, Tareq menyangkal dakwaan itu kerana terbuka menerima teguran daripada sesiapa saja.

“Kalau ada kesilapan saya buat sila tegur tapi secara betul kerana anak saya umur enam tahun pun tegur kalau saya buat silap di rumah.

“Salah tetap salah, kalau saya buat ‘content’ tak ikut syariat dan agama, silakan tegur.

“Ini bukan agama saya tapi Allah SWT cuma saya tak akan mesej secara peribadi kalau seseorang itu buat kesalahan secara terbuka melainkan jiran buat silap atau maksiat…yang itu saya akan bersemuka.

“Ia kerana jiran saya tak buat video tapi yang kita bimbang bila orang buat perkongsian tak ikut syariat dan ramai ikut. Sedangkan, Rasulullah SAW sudah pesan jangan sebarkan maksiat dan normalisasikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top