TIDAK mengusung dendam, pelakon, Aliff Aziz, tumpang gembira melihat bekas isterinya, Bella Astillah bertemu cinta sejati dan kini bergelar tunangan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Walaupun tidak berada di majlis pertunangan tersebut, namun penyanyi Sayang Sayang itu ada melihat video pertunangan yang dikongsikan kenalan kepadanya. Doa Aliff, semoga cinta Bella dan Saddiq akan berkekalan sampai hujung nyawa.
Melihat bekas isteri sudah berada di fasa hidup yang baharu, Aliff atau Mohamad Aliff bin Aziz, 35, bagaimanapun belum terbuka hati mencari pengganti walaupun namanya pernah dikaitkan dengan beberapa wanita sebelum ini. Bagi Aliff, buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada diri sendiri selain menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.

“Banyak perkara saya mahu perbaiki dan usahakan, seperti sedang usaha lebih cergas dan fokus kepada kerjaya. Kalau ada rezeki (berkahwin), itu Allah yang tentukan dan semestinya di luar kawalan saya.
“Buat masa ini saya masih ‘single’ (solo), belum bertunang dan berkahwin lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, bercerita mengenai kehidupannya hari ini, Aliff bersyukur hidupnya kembali tenang apabila mendekatkan diri kepada Allah. Jelasnya, dia banyak menghadiri kelas agama di samping bergaul dengan jemaah tabligh di Singapura.
“Saya banyak luangkan masa di gim, dengan keluarga dan di set penggambaran. Saya juga dekatkan diri semula dengan agama, jangan salah faham, saya bukan mahu berdakwah sebab itu bukan posisi saya. Tapi ia membuatkan saya lebih tenang menghadapi banyak perkara.
“Saya akui ada banyak perkara yang perlu diperbaiki, tak semua orang sempurna,” katanya.
Walaupun kontroversi membabitkan perkahwinan terdahulu dan insiden tangkap basah bersama seorang pelakon sudah dua tahun berlalu, Aliff mengakui sehingga hari ini dia masih menerima banyak kecaman daripada pengguna media sosial.
“Allah bagi ketenangan untuk hadapi semua kecaman, sekarang saya ada satu prinsip bahawa kita semua akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan. Keutamaan saya adalah untuk beri yang terbaik buat diri sendiri.
“Kalau saya ada buat salah pada sesiapa, sekurang-kurangnya saya kena kenal untuk minta maaf. Tapi macam mana pula dengan kata-kata kesat daripada orang yang saya tak kenal? Biarlah itu menjadi urusan Allah.
“Berapa lama saya nak duduk meratapi masa yang sedang bergerak ini? Saya kena mahu kehadapan, kalau asyik terkesan dengan pendapat orang, bila saya nak bangun?,” katanya.
Mula dapat tawaran berlakon, nyanyi
Percaya bahawa Allah Maha Pemberi Rezeki, Aliff bersyukur apabila semakin banyak menerima tawaran bernyanyi di majlis tertutup dan berlakon. Terbaharu, Aliff menyandang watak utama menerusi drama Madu Atau Racun terbitan MIG Productions.
“Tidak dinafikan semasa keadaan menjadi ‘ribut’ memang kurang dapat tawaran. Tapi saya anggap ketika itu fasa berehat. Jika tiada rezeki di Malaysia, mungkin di tempat lain.
“Selagi kita masih hidup, Allah akan bagi rezeki. Jadi saya enggan terlalu memikirkan sangat tentang kerja lepas ni. Kalau tak ada, bererti ada benda lain yang Allah nak beri,” katanya.
Drama Madu Atau Racun bakal bersiaran selama 12 episod di platform penstriman iQIYI dan bakal bergandingan dengan Uqasha Senrose sebagai watak utama.
“Terima kasih kepada David Teo kerana memberi kepercayaan kepada saya membawakan watak utama dalam drama ini dan saya belajar banyak perkara menerusi karakter saya dalam drama ini,” katanya.




