Saya masih teruskan rawatan kemoterapi – Elyana

Saya masih teruskan rawatan kemoterapi – Elyana

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyanyi, Elyana memaklumkan gambar yang dimuat naik di Instagram (IG), semalam bukan gambar baharu sebaliknya diambil beberapa bulan lalu ketika menjalani rawatan kemoterapi.

Elyana atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal berkata dia masih meneruskan rawatan kemoterapi sehingga kini.

“Setakat ini saya masih meneruskan kemoterapi dan kalau anda tengok media sosial, gambar tu bukanlah gambar semalam.

“…tapi beberapa bulan lalu ketika saya buat rawatan dan sekarang ini masih menjalankan (rawatan) kemoterapi,” katanya ketika berkongsi perkembangan terbaharu pada Majlis Amal KAWAN yang dihadiri pesakit serta bekas pesakit kanser di sini, hari ini.

Majlis penutup program itu disempurnakan isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi KASIH Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Elyana berkata walaupun terpaksa melakukan rawatan kemoterapi, kehidupannya berlangsung seperti biasa dan dia bersyukur kerana banyak disokong oleh suami.

Katanya, dua anak perempuannya yang berusia 14 dan 6 tahun juga memahami keadaan yang dihadapinya.

“Saya dan suami bekerjasama menguruskan rumah, pekerjaan dan anak-anak. Itulah nikmat berumah tangga, susah senang bersama.

“Saya ini nampak macam power rangers di luar, tapi sampai di rumah memang lembik (lemah).

“Itulah real life (kehidupan sebenar) saya, kadang-kadang sedih bila orang cakap saya pura-pura sakit nakkan perhatian.

“Apa keuntungan saya dapat kalau tipu. Tapi saya ingin memberikan semangat kepada mereka (yang senasib) supaya bila mereka nampak saya (bersemangat) mungkin mereka akan lebih semangat untuk berjuang (melawan kanser),” katanya.

Pada majlis berkenaan, Elyana turut menyanyikan salah satu lagu popularnya, Tak Tercapai Akalmu yang mendapatkan sorakan daripada peserta program.

Semalam, hantaran di IG penyanyi itu menarik perhatian warganet yang rata-rata membangkitkan status terkini kesihatan penyanyi yang sebelum ini disahkan bebas kanser, berdasarkan foto dan kapsyen dikongsinya

Melalui hantaran itu, Elyana berkongsi kapsyen yang seolah-olah menggambarkan gejolak emosinya.

Elyana turut menyertakan foto dipercayai rakaman terkini menampakkan kepalanya licin tanpa rambut, yang dipercayai netizen mungkin kesan daripada proses kemoterapi sebagai rawatan pencegahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top