'Saya menyesal, mohon belas ihsan mahkamah' – Tertuduh cabul pelajar

'Saya menyesal, mohon belas ihsan mahkamah' – Tertuduh cabul pelajar

am@hmetro.com.my

Muar: “Saya menyesal. Saya mohon belas ihsan mahkamah untuk meringankan hukuman,” demikian rayuan pemandu e-hailing sebelum Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan atas pertuduhan amang seksual fizikal.

Tertuduh, Jack anak Samai, 37, yang berhadapan tiga pertuduhan, kelihatan sebak ketika mengemukakan rayuan itu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor selepas ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun dalam keretanya yang diparkir di Batu Pahat, 10.10 malam, 3 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta tiga sebatan bagi pertuduhan pertama manakala tiga tahun satu sebatan bagi pertuduhan kedua dan ketiga dengan kesemua hukuman penjara berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan, 9 Oktober lalu.

Pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling serta pengawasan polis sebaik selesai hukuman selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top