“Saya muda lagi, baru 51 tahun…”- Sanusi belum sedia sandang jawatan Naib Presiden PAS

“Saya muda lagi, baru 51 tahun…”- Sanusi belum sedia sandang jawatan Naib Presiden PAS

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan belum bersedia untuk memegang jawatan Naib Presiden PAS meskipun menerima sokongan daripada pemimpin tertinggi parti itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan sekiranya dicalonkan, selain menegaskan bahawa pemilihan jawatan dalam parti seharusnya ditentukan oleh ahli dan bukan dirinya sendiri.

“Saya belum buat keputusan. Kalau ada pencalonan, saya akan pertimbangkan. Tapi dua kali dah saya tarik diri.
“Saya rasa jawatan dalam parti ini orang akan tentukan, bukan saya. Saya tak pernah tawar diri untuk bertanding sampai sekarang pun.
“Jadi saya akan pertimbang adakah perlu saya berada di situ. Kalau ada orang lain lebih layak, bagilah dia sebab saya muda lagi, baru 51 tahun,” katanya.

Sanusi belum sedia sandang jawatan Naib Presiden PAS

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) ke-7 2025, di sini semalam.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tiada masalah untuk kekal sebagai pemimpin barisan bawah dan menyerahkan peluang kepada individu yang lebih berkelayakan serta mampu membawa peranan lebih baik.

“Saya rasa ada orang lebih layak patut berada di situ, jadi bagilah dia. Saya tak ada masalah jadi orang lebih bawah.
“Bagi orang yang ada keupayaan, kelayakan, mulut tak capoi (cakap lepas) berada di situ, tapi orang bermulut capoi kena ada juga,” katanya berseloroh.

Artikel lain: Sanusi percaya rakyat akan guna modal RM100 untuk hadir perhimpunan ‘Turun Anwar’

Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menyatakan secara terbuka bahawa beliau bersetuju sekiranya Muhammad Sanusi dipilih sebagai Naib Presiden PAS, memandangkan rekod cemerlang beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan pengaruhnya dalam parti.

Namun begitu, Muhammad Sanusi menegaskan beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan pencalonan tersebut yang kebiasaannya hanya akan diumumkan selepas proses pencalonan ditutup.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti akan maklum ‘tuan telah dicalonkan jawatan sekian-sekian dan telah menerima sebanyak sekian pencalonan, adakah tuan sedia bertanding’. Dua tahun lepas saya pangkah tidak bersedia.
“Tahun ini saya akan pertimbang, perlu atau tidak. Kalau ada orang lebih baik, lebih layak, saya akan berkempen untuk beliau. PAS tak macam parti lain, kita tak berebut sehingga berhenti jawatan menteri,” ujarnya.

Mengulas mengenai sama ada ketiga-tiga Naib Presiden sedia ada wajar dikekalkan, iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau berkata mereka masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam parti.

Sumber: Utusan Online (Muhammad Aimy Ahmad)

Scroll to Top