'Saya nak sangat cari siapa bawa bakul itu sampai anak saya kemalangan'

'Saya nak sangat cari siapa bawa bakul itu sampai anak saya kemalangan'

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang bapa merayu pada sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) membabitkan kemalangan anaknya melanggar bakul meletak ayam yang jatuh di jalan raya di Jalan Kluang, di sini, Jumaat lalu.

Shamsuddin Ismail, 48, berkata, anaknya, Muhammad Farhan, 21, cedera apabila motosikal ditunggangnya merempuh bakul di tengah-tengah jalan yang dipercayai tidak diikat ketika diletakkan belakang kenderaan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada jam 7.40 malam ketika anak ketiga daripada lima beradik dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Jambul, Parit Raja sebaik selesai membeli barangan peribadi di bandar.

“Selepas selesai kerja di kilang, anak saya ke bandar. Dia berseorangan ketika itu untuk pulang ke rumah namun tidak menyedari ada bakul meletak ayam di tengah-tengah jalan.

“Dia tak sempat elak lalu langgar dan terpelanting. Daripada saksi di kedai berhampiran, mereka ada nampak bakul itu dibawa oleh individu menaiki pacuan empat roda sebelum terjatuh.

“Akibatnya anak saya cedera di kedua-dua tangan, kaki dan perut serta dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan. Dia kini sedang cuti sakit kerana perlu menjalani rawatan susulan.

“Saya dengan rendah diri merayu, agar sesiapa ada kamera dashcam, bantulah kami. Kami hanya mahu keadilan untuk anak saya yang terpaksa menanggung kesakitan,” katanya.

Susulan itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Parit Raja, petang keesokan hari untuk tindakan lanjut.

Katanya, selepas kejadian itu, tiada pihak bertanggungjawab tampil meminta maaf.

Pada masa sama, katanya, dia juga turut mendapatkan bantuan dari premis berhampiran bagi mengenalpasti bakul itu datang dari mana.

“Kami tidak mahu mencari musuh, kalau boleh ada penyelesaian secara baik, lagi bagus. Kejadian pun sudah berlaku jadi kami reda.

“Saya nak sangat cari siapa bawa bakul itu, saya risau jika perkara sama berlaku ke atas orang lain. “Cukuplah kejadian ini menimpa anak saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top