'Saya nampak wanita terperangkap bawah papan, dan seorang melecur di dapur' – Saksi letupan di universiti

'Saya nampak wanita terperangkap bawah papan, dan seorang melecur di dapur' – Saksi letupan di universiti

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Selepas letupan itu, saya ternampak seorang penuntut wanita terperangkap di bawah papan,” kata saksi kejadian kes letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, penuntut wanita universiti berkenaan yang enggan dikenali berusia 24 tahun berkata, dia berada di kafeteria ketika letupan terbabit berlaku.

“Semasa melarikan diri, saya melihat seorang penuntut wanita terperangkap di bawah papan dan dia tidak dapat bergerak.

“Selain itu, saya juga melihat seseorang di bahagian dapur yang melecur akibat kejadian itu.

“Saya tidak dapat memastikan keadaan mereka mahupun membantu kerana ketika itu saya hanya fokus untuk melarikan diri,” katanya yang memaklumkan dirinya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang kakitangan universiti terbabit memaklumkan kampus berkenaan hanya mempunyai satu kafeteria untuk kemudahan staf serta penuntut.

“Kebanyakan ruang dalam bangunan yang berlaku letupan itu menempatkan pejabat pengurusan (universiti) selain beberapa kelas serta kafeteria.

“Ketika kejadian, saya berada di blok lain dan tidak mendengar letupan berkenaan mungkin disebabkan jarak bangunan itu jauh dari sini (bangunan lain),” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat beberapa kenderaan daripada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dilihat memasuki lokasi kejadian.

Beberapa pengawal keselamatan universiti swasta itu dilihat berada di kawasan sekitar bagi mengawal keadaan dengan blok lokasi kejadian ditutup pihak berkuasa.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang kontraktor disahkan maut, manakala sembilan mangsa cedera dalam insiden letupan di sebuah universiti swasta di Jalan Semantan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, mangsa yang maut membabitkan lelaki tempatan berusia 24 tahun disahkan maut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau dipetik berkata, letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top