georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Diana Danielle, 34, tidak sedih meraikan Aidilfitri seorang diri tanpa dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora yang beraya di Kedah bersama bekas suami, Farid Kamil selama seminggu.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson malah seronok mereka masih dapat beraya dengan suasana di kampung dan baginya penting buat anak-anaknya merasai keseronokan itu.
“Tiada ‘drama’ air mata, saya bersyukur anak-anak dan Farid sihat. Saya juga gembira mereka dapat merasai suasana beraya di kampung.
“Ini keputusan saya sendiri, jadi saya perlu menerimanya dengan matang. Apa pun, saya okay kerana anak-anak masih mempunyai seorang bapa yang penyayang dan sentiasa meluangkan masa dengan mereka.
“Walaupun saya tak lagi beraya dalam suasana kampung, yang penting anak-anak masih dapat merasai kemeriahannya,” katanya.
Pelakon Imaginur berkenaan menyifatkan penggiliran itu juga memberi peluang menikmati masa untuk diri sendiri. Lagipun katanya dia sudah biasa meraikan Aidilfitri di bandar bersama saudara serta rakan-rakan.
“Jujurnya, saya tak kisah pun dengan penggiliran ini. Ini bukan kali pertama, dua tahun lalu pun pernah berlaku. Anggap saja sebagai ‘me time’, masa untuk berehat dan relaks.
“Daripada bersedih, lebih baik saya fokus pada diri sendiri dan terus positif. Inilah kehidupan saya sekarang. Saya memang berasal dari Kuala Lumpur, jadi beraya di sini bukan sesuatu yang asing.
“Dengan kehadiran keluarga dan rakan-rakan, suasana raya tetap meriah seperti biasa. Kami masih menyesuaikan diri dengan situasi baharu, dan saya sangat menghargai serta menghormati perubahan ini,” katanya.
Diana dan Farid sah bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac lalu selepas mendirikan rumah tangga selama 13 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd