‘Saya pakai jersi United sejak kecil’

‘Saya pakai jersi United sejak kecil’

PENYERANG Cameroon, Bryan Mbeumo melabel penyertaannya bersama Manchester United sebagai menyertai kelab impian selepas perpindahan bernilai £65 juta (RM371 juta) dari Brentford dimuktamadkan, sekali gus menamatkan salah satu saga perpindahan paling lama musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan lanjutan selama 12 bulan, sekali gus menjadi rekrut ketiga pengendali baharu, Ruben Amorim, selepas ketibaan Matheus Cunha dan pertahanan kiri, Diego Leon sebelum ini.

Perpindahan ini dimuktamadkan tujuh minggu selepas United menghantar bidaan pertama pada awal Jun, sebelum bidaan ketiga bernilai £65 juta dengan tambahan £6 juta (RM34 juta) sebagai syarat tambahan, diterima minggu lalu.

“Sejak tahu ada peluang menyertai Manchester United, saya tahu saya perlu mengambil peluang itu. Ini adalah kelab impian saya, pasukan yang jersinya saya pakai sewaktu kecil.

“Falsafah saya ialah untuk sentiasa menjadi lebih baik daripada semalam. Saya yakin dengan semangat serta karakter yang saya miliki, saya mampu mencapai tahap lebih tinggi di sini, belajar daripada Ruben Amorim dan bermain bersama pemain kelas dunia.

“Semua orang bercakap mengenai suasana baharu yang sedang dibina di kelab ini dan rancangan masa depan yang sangat menarik. Ini kelab besar, dengan stadium luar biasa serta penyokong menakjubkan. Kami semua benar-benar bersemangat untuk mencabar kejuaraan utama,” kata Mbeumo.

United sebelum ini memulakan rundingan dengan bidaan awal sekitar £55 juta (RM313 juta), diikuti tawaran kedua £62.5 juta (RM356 juta) pada akhir Jun, sebelum rundingan menemui titik persetujuan.

Mbeumo meninggalkan Brentford selepas mencatat 70 gol dan 51 bantuan jaringan dalam 242 perlawanan sejak menyertai kelab itu dari Troyes pada 2019.

Musim lalu, beliau mencatat rekod peribadi dengan 20 gol dan tujuh bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pencapaian tertingginya setakat ini.

Pengarah Bola Sepak Manchester United, Jason Wilcox memuji rekod konsisten Mbeumo dalam EPL dan berkata: “Rekod gol dan bantuan jaringan Bryan dalam Liga Perdana sangat luar biasa. Konsistensinya menjadikannya antara pemain paling produktif dalam tiga musim terakhir.

“Komitmennya terhadap projek kami serta keazaman menyertai kelab ini membuktikan beliau adalah pilihan tepat buat Manchester United dan budaya yang sedang kami bangunkan.”

Sementara itu, Pengarah Brentford, Phil Giles menyifatkan perpindahan ini sebagai masa yang sesuai buat Mbeumo mencabar diri ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi pihak semua di Brentford, kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Bryan dan berterima kasih atas sumbangan luar biasanya sepanjang enam musim.

“Beliau tiba sebagai remaja dan menjadi kebanggaan kami menyaksikan pertumbuhannya sebagai pemain dan individu. Penyokong kami amat menyayanginya dan beliau terlibat dalam antara detik terbaik kelab ini.

“Akan sentiasa ada masa sesuai untuk seseorang pemain berpindah, dan bagi Bryan, masanya telah tiba. Kami berbangga beliau akan beraksi bersama salah satu kelab terbesar dunia,” katanya.

Dengan perpindahan ini, Mbeumo mencatatkan rekod jualan tertinggi Brentford, mengatasi penjualan Ivan Toney kepada Al-Ahli bernilai £40 juta (RM228 juta) pada Ogos 2024.

Scroll to Top