illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my.my
Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan tidak akan membiarkan masa depan pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 diabaikan dan akan tetap berusaha memujuk mereka menerima tawaran Sekolah Berasrama Penuh (SBP) biarpun berdepan masalah kewangan.
Beliau berkata, biarpun mereka menolak tawaran, namun sesi memujuk akan dilakukan sedaya upaya supaya mereka menerima peluang yang ditawarkan itu.
Katanya selain pelajar, ibu bapa perlu terlebih dahulu diyakinkan mengenai isu perbelanjaan dan bantuan yang akan diuruskan pihaknya.
“Saya ini paling ralat kalau anak-anak B40 menolak tawaran ke SBP kerana belenggu kemiskinan keluarga. Sedangkan polisi kita jelas, anak-anak B40 yang ada potensi inilah harus kita beri peluang dan beri keutamaan.
“Maka terjadilah sesi pujuk memujuk ini. Anak yang cerdik dan baik ini mendapat beberapa tawaran sekolah yang baik termasuk SBP.
“Tetapi menolak kerana kekangan kewangan keluarga. Mula-mula ibu bapanya perlu dipujuk dengan memberi keyakinan yang isu perbelanjaan dan bantuan tidak perlu dibimbangkan.
“Semua bantuan persekolahan boleh diuruskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Fadhlina yang menggelar dirinya sebagai makcik turut berkongsi sekeping gambar yang menunjukkan beliau sedang memujuk seorang pelajar cemerlang, secara dalam talian.
“Selesai pujuk mak ayah. Berkumpul lah kami secara jemaah di PPD, masuk Google Meet untuk sesi pujuk memujuk.
“Memujuk anak jauh lebih susah. Dia menangis. Saya pun menangis. Dia terharu. Saya yang pilu.
“Kebimbangannya jelas. Tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Nampak sangat berat beban mahu meninggalkan keluarga.
“Walaupun beban kewangan bukan lagi isu setelah saya memberikan jaminan, anggap sahaja selesai kerana saya ada,” katanya yang terus menyokong apa sahaja pilihan pelajar itu asalkan dia terus belajar.
Beliau berkata, usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memberi sokongan kepada anak-anak B40 berterusan dan bukan setakat di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Malah Menteri pun harus membantu meyakinkan anak ini. Keciciran ‘is a non negotiable’. Semua pihak mesti turun hingga ke akar umbi.
“Kita doakan yang terbaik. Soalnya bukan tempat belajar, tetapi kemahuan untuk terus belajar. Tidak mengapa anakanda.
“Ambillah masa mengikut keselesaan anakanda. Makcik setia menunggu jawapan anakanda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




