'Saya pilih jalan ini, walau penat mana mana sekalipun'

'Saya pilih jalan ini, walau penat mana mana sekalipun'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Cyberjaya: Cekalnya guru wanita ini apabila sanggup memandu kereta dengan menempuh perjalanan ulang alik sejauh 388 kilometer (km), demi tugas sebagai pendidik.

Seawal 4 pagi, Aisha Hassan, 34, sudah bangun tidur dan akan keluar dari rumahnya di sini, 45 minit kemudian untuk mengajar di sebuah sekolah rendah yang terletak di Kampung Durian Chondong, Bukit Kepong, Muar, Johor.

Selalunya, dia akan tiba sekolah kira-kira 7.15 pagi, dan pulang ke rumah pada 2 petang.

Berkongsi kisahnya, Aisha yang mengajar subjek Sains berkata, rutin itu dilalui sejak enam bulan lalu dan sanggup memandu jarak jauh kerana enggan berpindah, walaupun boleh tinggal menyewa di rumah yang lebih dekat dengan sekolah.

“Dua bulan pertama memang seronok, tapi sekarang sudah mula rasa penat kerana lalui rutin itu selama lima hari dalam seminggu (Isnin hingga Jumaat).

“Tapi saya yang tak nak pindah dan pilih jalan ini, jadi kena hadap walau penat macam mana sekalipun.

“Setakat ini, saya dapat atur masa dengan baik dan sudah terbiasa dengan rutin bangun awal serta memandu jarak jauh setiap hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Aisha, dia juga terpaksa memperuntuk sejumlah peruntukan untuk kos perjalanannya selain kos penyelenggaraan kereta.

“Ikutkan sudah banyak saya berhabis duit untuk kereta kerana masalah tayar dan kerosakan lain.

“Tak untung pun tapi saya buat kerja (berulang alik jauh), kerana tanggungjawab dengan niat kerana Allah SWT, jadi teruskan saja.

“Rakan guru, pentadbir dan murid semua tahu rutin saya. Saya kongsi di TikTok pun untuk suka-suka dan tak sangka pula tular,” katanya.

Aisha percaya ramai yang melalui pengalaman sama dengannya demi mencari rezeki.

“Rasanya bukan saya seorang dan kalau nak teruskan memang kena kuat mental juga fizikal.

“Fikir nak kerja saja dan Insya-Allah, urusan harian akan jadi mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top