Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggalkan kesan mendalam buat ramai, namun bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi kehilangan insan yang disayangi.
Kisah kehidupan jadi inspirasi
Menerus perkongsian di media sosial, Syed Saddiq menyatakan perkara paling penting dalam melalui fasa kedukaan adalah niat, sambil menyifatkan kisah Tun Dr Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perjalanan dua insan yang tidak dapat dipisahkan serta saling melengkapi sepanjang kehidupan.
“Kita semua berduka dengan cara yang berbeza. Kita semua melalui kesedihan dengan cara kita yang tersendiri.
“Yang paling penting adalah niat.
“Kerana akhirnya, ini bukan tentang kita. Ini tentang kisah cinta luar biasa dua jiwa yang tidak dapat dipisahkan….dua insan yang saling melengkapi sepanjang perjalanan hidup.
“Dan mungkin, apabila cinta sahaja tidak lagi cukup untuk menggambarkannya, ia menjadi sesuatu yang lebih mendalam….kebersamaan. Teman hidup. Teman seperjuangan. Teman sampai ke penghujung usia, ” tulisnya.
Setiap yang dilakukan jadi lembaran sejarah Malaysia
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengenang Allahyarham sebagai seorang wanita yang menghabiskan hidupnya dengan membuatkan insan di sekeliling berasa dihargai, disayangi dan istimewa.
Menurutnya, Allahyarham juga terus berkhidmat kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira siapa mereka.
“Ini juga kisah seorang wanita yang menghabiskan hidupnya membuatkan orang di sekelilingnya berasa dihargai, disayangi dan istimewa sambil terus berkhidmat kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira siapa mereka.
“Jadi, saya memilih untuk berduka dengan cara yang berbeza.
“Saya memilih untuk mengenang Tun bukan hanya dengan air mata, tetapi dengan meraikan kehidupan yang beliau jalani, kasih yang beliau berikan, dan dakwat kekal yang beliau tinggalkan dalam lembaran sejarah Malaysia dan dalam hati kita semua.
“Bersemadilah dengan tenang, Tun. Kisahmu akan terus hidup,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq memuat naik hantaran pilu apabila tidak menyangka bahawa pertemuan semasa menyerahkan jemputan perkahwinan kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir menjadi pertemuan terakhirnya bersama sosok wanita istimewa itu.
Beliau juga bergegas hadir ke upacara pengebumian Allahyarham bersama tunang, Bella Astillah usai mengetahui khabar duka tersebut walaupun ketika itu mempunyai urusan pekerjaan yang dijadualkan berlangsung pada hari berkenaan.
Sumber: Instagram syedsaddiq




