Pendakwah bebas, Wan Dazrin atau lebih dikenali sebagai Da’i Wan tampil menegur secara terbuka tindakan pempengaruh sensasi berkenaan isu rumah tangga mereka yang kini menjadi sorotan masyarakat.
Menurutnya, sebagai individu berpengaruh, mereka seharusnya lebih berhati-hati dalam berkongsi perkara peribadi yang melibatkan maruah keluarga, apatah lagi apabila ia menjadi tatapan umum di media sosial.
“Saya minta berhenti sekarang. Selesaikan hal keluarga anda di belakang tabir. Jangan jadi punca fitnah, jangan jadi punca rantaian dosa yang akan buat anda berdua kesal di hari akhirat nanti.
“Please, this has to stop. Saya cukup tak suka nak campur tangan pasal hal rumah tangga orang, tapi saya melihat kalian berdua tidak tahu berhenti, melainkan authority kena turun dulu agaknya.
“Berundurlah dari sosial media seketika, dan hiduplah dibelakang sosial media pula, jangan jadi fitnah dunia, jangan jadi punca rantaian dosa. Berat tak tertanggung di hari akhirat nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Da’i Wan juga menjelaskan, meskipun jodoh di antara pempengaruh berkenaan sudah terlerai, namun ikatan dan kasih sayang terhadap anak-anak adalah tanggungjawab kedua-duanya.
“Bukalah pintu kemaafan masing-masing. Ikutlah jalan agama kita.
“Meski jodoh tidak menakdirkan bersatu, tapi ikatan anak-anak telah tercipta dengan tanggung jawab.
“Peganglah amanah dengan kasih dan sayang. Bukan denga amarah nafsu dendam yang tak berkesudahan,” jelasnya.
Terdahulu, isu rumah tangga pasangan pempengaruh sensasi itu terus hangat menjadi bualan di media sosial susulan insiden pengambilan semula barang-barang milik wanita tersebut di kediaman bekas suaminya pada Isnin lalu.
Insiden itu bukan sahaja menarik perhatian netizen, malah mencetuskan pelbagai reaksi serta perdebatan dalam kalangan warganet yang mengikuti perkembangan hubungan mereka.




