“Saya Rasa Beban Kepada Keluarga” – Pernah Berada Dititik Terendah, Dafi Akui Alami Gangguan Emosi

“Saya Rasa Beban Kepada Keluarga” – Pernah Berada Dititik Terendah, Dafi Akui Alami Gangguan Emosi

Penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail Sabri mengaku pernah berdepan titik terendah dalam hidupnya termasuklah mengalami gangguan emosi.

Kata Dafi atau nama lengkapnya, Gadaffi Ismail Sabri, 37, perasaan rendah diri dan merasakan diri tidak memberi sumbangan kepada sesiapa termasuklah keluarga dan industri pernah menghantui fikirannya.

“Ya, memang ada fasa begitu. Bila saya tengok ayah sendiri, adik-beradik lain yang berjaya dalam apa yang mereka buat, saya rasa saya tidak sampai ke tahap mereka. Masa itu saya lupa untuk bersyukur dengan apa yang saya ada dan hanya fikir apa yang saya tak ada.

“Tapi titik terendah saya tidaklah sampai hendak bunuh diri, tapi saya mempersoalkan apa gunanya saya ada di dunia ini. Macam saya tak menyumbang apa-apa kepada sesiapa.

“Saya rasa macam beban kepada keluarga, apa sumbangan saya dalam industri, orang suka saya atau tidak. Benda-benda macam itu bermain di fikiran saya,”katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mengambil inisiatif untuk berjumpa pakar, Dafi mengakui pernah terfikir untuk mendapatkan rawatan psikiatri, namun bersyukur kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan sokongan padu daripada keluarga dan orang sekeliling.

“Ada sahaja. Saya melihat berjumpa psikiatri sebagai sesuatu yang sangat positif.

“Tapi saya tidak berkesempatan nak pergi jumpa sebab saya rasa saya dah cukup bagus ada sistem sokongan (support system) yang kuat. Tapi kalau benda ini berterusan, tak mustahil saya akan pergi jumpa,” jelasnya.

Pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu berkongsi perkara demikian ketika ditemui pada malam pementasan Projek Tentang Rasa yang diadakan di Damansara Performing Art Centre (DPAC), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dafi mengaku,  dia lebih gemar memendam perasaan daripada berkongsi kepada keluarga dek kerana tidak mahu orang tersayang berasa terbeban dengan perasaannya.

“Masalah saya ialah saya jenis orang yang menyimpan. Saya rasa esok ayah datang (tengok teater), dia mungkin terkejut. Sebab tujuan saya dalam mana-mana kumpulan adalah untuk buat suasana gembira

“Nak ceritakan masalah kepada orang adalah sesuatu yang berat bagi saya. Saya tak nak merisaukan orang dan menambah beban mereka,” ujarnya.

Sekadar info, selain Dafi, antara barisan pelakon yang terlibat dalam pementasan Projek Tentang Rasa yang diarahkan oleh Syawal Azrai Mokhtar ini adalah, Adriana Adnan, Syazwan Razak, Zaid Erakad, Maryam Tarmizi, Amir Mirza dan Syawal Azrai.

Pementasan Teater Projek Tentang Rasa ini akan berlangsung dari 6 sehingga 8 Februari 2026 di Damansara Performing Art Centre (DPAC), Petaling Jaya.

Scroll to Top