Pelakon dan penyanyi, Fathia Latiff, meluahkan rasa kecewa selepas menerima pelbagai kritikan susulan perubahan pada wajahnya akibat melakukan prosedur estetik iaitu ‘filler’.
Menerusi satu ciapan di platform Threads, Fathia mengakui dirinya berasa sedih dan tertekan apabila sering menjadi sasaran kecaman netizen hanya kerana menjalani rawatan kecil pada wajah.
“Saya terluka. Ramai yang terus menilai dan mengecam penampilan saya. Padahal saya cuma buat rawatan kecil saja, hanya filler. Tapi bukannya buat saya rasa lebih baik, saya jadi makin sedih,” katanya.
Menurut Fathia, rawatan wajah itu telah membuatkan dirinya hilang keyakinan diri sehingga tidak bersemangat untuk menjaga penampilan dan bersiap.
“Saya nampak sendiri perubahan pada wajah saya, dan sejujurnya, saya rasa penampilan saya jadi lebih teruk.
“Saya dah tak berminat nak bergaya, dan kadang-kadang rasa macam orang pun tak cam saya bila saya keluar. Saya rasa macam bukan diri saya sendiri lagi,” katanya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-rata memberikan kata-kata semangat agar Fathia terus kuat dan tidak terlalu memikirkan pandangan negatif netizen.
Terdahulu, nama Fathia beberapa kali menjadi tumpuan media susulan penampilannya yang berubah, selain kenyataan beraninya di media sosial yang sering mencetuskan perdebatan.